DAMOK mahu cuba capai KPI  iaitu penamat lima terbaik keseluruhan di JuniorGP.
DAMOK mahu cuba capai KPI iaitu penamat lima terbaik keseluruhan di JuniorGP.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pelumba negara, Syarifuddin Azman enggan terlalu memikirkan peluangnya untuk beraksi pada musim penuh Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dalam kelas Moto3 tahun depan.

Sebaliknya, pelumba dikenali sebagai Damok itu berkata, dia perlu memberi tumpuan terlebih dahulu kepada Kejuaraan Dunia JuniorGP yang menyaksikannya menduduki tempat kedua keseluruhan ketika ini.

"Saya perlu fokus kepada musim ini dahulu dengan cuba mencapai KPI (Petunjuk Prestasi Utama) yang ditetapkan iaitu penamat lima terbaik keseluruhan di JuniorGP.

"Selepas itu kemungkinan besar saya akan berada pada musim penuh di Kejohanan Dunia. Tapi itu semua bergantung kepada pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi (Khairuddin) atau SIC (Litar Antarabangsa Sepang)," katanya.

Jelas Damok, fokusnya kepada JuniorGP ketika ini cukup penting kerana keputusan yang diraih akan menentukan perjalanan kariernya pada musim depan.

"Jika saya dapat mengekalkan kedudukan kedua keseluruhan, peluang lebih besar untuk saya beraksi pada musim penuh di Kejohanan Dunia tahun depan," katanya.

Prestasi cemerlangnya di JuniorGP membolehkannya terpilih beraksi di Grand Prix (GP) Malaysia pada 21 hingga 23 Oktober depan menerusi tiket wild card.

Kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif menerusi laporan Arena Metro berkata, dua faktor utama menjadi penentu sama ada Damok bakal membuat penampilan penuh di MotoGP pada tahun depan.

Katanya dua faktor itu membabitkan dana selain tempat dalam pasukan yang pada ketika ini sedang diburu pelumba dari seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 4:03 PM