SYARIFUDDIN Azman. FOTO Agensi
SYARIFUDDIN Azman. FOTO Agensi
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Peminat sukan pemotoran negara perlu menunggu lebih kurang sebulan lagi untuk mengetahui status sama ada dua pelumba SIC Racing Team akan beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia bagi musim depan.

Menurut Pengurus pasukan SIC Racing Team, Zulfahmi Khairuddin, pihaknya sekarang sedang dalam perbincangan dengan sebuah pasukan dalam kelas Moto3 di Kejuaraan Motosikal Dunia dan sekiranya berhasil, Malaysia akan menyenaraikan Syarifuddin Azman.

"Pihak pengurusan perlu memberikan tumpuan kepada pencarian pasukan bagi Syarifuddin terlebih dulu sebelum memikirkan tempat bagi seorang lagi pelumba berpengalaman, Adam Norrodin dalam kelas Moto2," katanya ketika ditemui di Program MAM Come & Try bersama Zulfahmi Khairuddin hari ini.

Ujar Zulfahmi, mereka sekarang sedang berunding dengan sebuah pasukan di Moto3 bagi menempatkan Syarifuddin atau lebih dikenali sebagai Damok untuk saingan 2022.

"Untuk Adam pula, kita bersama pasukan pengurusan sedang menilai prestasi dia untuk kita teruskan penyertaannya di Kejuaraan CEV ataupun di Kejuaraan Dunia.

"Jadi untuk Adam, masih dalam situasi tanda tanya tetapi kita akan terlebih dulu meneruskan usaha untuk Damok (terlebih dulu) ke Kejuaraan Dunia. Ini kerana banyak tempat (dalam pasukan Moto3) sudah tak ada yang kosong lagi," katanya.

Zulfahmi yang juga pernah beraksi di Moto3 dan Moto2 mengakui, ia bukan sesuatu yang mudah dan mereka mendapat satu tempat di Moto3 (peringkat perbincangan) dan berharap Damok beraksi di Kejuaraan Dunia.

"Kalau dilihat daripada segi persaingan antara Moto3 dan Moto2, agak jauh bezanya. Moto3 jauh lebih kompetitif daripada Moto2.

"Adam sudah melakukan tugas dengan baik tahun ini dengan beberapa podium tetapi (buat masa ini) saya rasa Damok lebih berpotensi untuk diketengahkan ke Kejuaraan Dunia.

"Jadi keputusan untuk perkara ini paling maksimum (boleh diketahui) dalam sebulan lagi dan paling cepat dalam dua minggu," katanya.

Syarifuddin menyumbang mata berharga buat pasukan Petronas Sprinta Racing kelas Moto3 di Grand Prix (GP) Aragon apabila menduduki tempat ke-13, di Alcaniz, Sepanyol pertengahan bulan ini.

Dia ketika itu mengambil alih tempat John McPhee yang beralih ke Moto2.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 6:07 PM