PEMANDU Red Bull, Sergio Perez (kanan) dipeluk rakan sepasukannya, Max Verstappen selepas memenangi perlumbaan GP Singapura. - AP
PEMANDU Red Bull, Sergio Perez (kanan) dipeluk rakan sepasukannya, Max Verstappen selepas memenangi perlumbaan GP Singapura. - AP
AFP

Singapura: Kejayaan Sergio Perez memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) Singapura dalam hujan, semalam, bermakna rakan sepasukannya di Red Bull, Max Verstappen perlu menunggu sekurang-kurangnya seminggu lagi untuk mengekalkan gelaran juara dunia Formula Satu (F1).

Pemandu Mexico itu menamatkan perlumbaan 7.5 saat di depan pemandu Ferrari, Charles Leclerc, manakala rakan sepasukannya, Carlos Sainz menduduki tempat ketiga pada perlumbaan waktu malam yang dimulakan lewat sejam kerana ribut.

Verstappen yang menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh, secara matematiknya berpeluang menang gelaran juara dunia kedua jika menang perlumbaan di Singapura.

Pemandu Belanda itu berdepan masalah selepas bermula di tempat kelapan di Sirkit Marina Bay Street, tetapi bangkit daripada tempat ke-13 untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.

Ini bermakna, jumlah mata pendahuluannya dalam senarai kejuaraan dunia ke atas Leclerc berkurang kepada 104 mata menjelang GP Jepun, minggu depan manakala Perez pula ketinggalan 12 mata di belakang Leclerc.

Verstappen perlu berada 112 mata di depan menjelang perlumbaan di Suzuka, Ahad depan, untuk mengekalkan gelarannya.

Ini bermakna, kemenangan sudah cukup buat Verstappen jika Leclerc gagal menduduki tempat k,edua.

"Ini adalah prestasi terbaik saya," kata Perez.

"Saya menguasai perlumbaan dan tiga pusingan terakhir memang mencabar. Apabila keluar dari kereta, saya dapat merasakannya. Saya memberikan segala-galanya hari ini."

Perez kini disiasat kerana dikatakan melakukan kesalahan ketika kereta keselamatan berada di litar pada perlumbaan itu dan berdepan penalti masa jika didapati bersalah, sekali gus memberikan kemenangan kepada Ferrari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 9:07 AM