PEMANDU Red Bull, Max Verstappen meraikan kemenangannya di Grand Prix Emilia Romagna di litar Autodromo Internazionale Enzo e Dino Ferrari di Imola, Itali. FOTO AFP
PEMANDU Red Bull, Max Verstappen meraikan kemenangannya di Grand Prix Emilia Romagna di litar Autodromo Internazionale Enzo e Dino Ferrari di Imola, Itali. FOTO AFP
AFP

Imola, Itali: Juara dunia, Max Verstappen menghidupkan semula peluangnya mempertahankan gelaran dan mengembalikan penguasaan Red Bull, semalam, apabila mendahului Sergio Perez melakukan penamat satu dua di tempat asal Ferrari di Grand Prix Emilia Romagna.

Pada perlumbaan dalam hujan itu, pemandu Belanda berusia 24 tahun itu tiba 16.5 saat di depan rakan sepasukannya di Red Bull pada ketika Charles Leclerc dan Ferrari melalui hari mengecewakan di depan penyokong fanatik di Autodromo Enzo e Dino Ferrari.

Leclerc yang bermula di petak kedua, menamatkan perlumbaan di tempat keenam selepas permulaan buruk dan keretanya berpusing pada pusingan akhir ketika menduduki tempat ketiga, sekali gus dipintas Lando Norris yang memandu jentera McLaren.

Selepas GP Arab Saudi, ia adalah kemenangan kedua Verstappen musim ini termasuk dua gagal menamatkan perlumbaan dan kemenangan ke-22 dalam kariernya.

Dia melengkapkan hujung minggu ini dengan bergaya apabila menduduki petak utama, muncul juara dan mencatat masa pusingan terpantas selain memenangi perlumbaan pecut pada Sabtu lalu.

Dia kini di tangga kedua kejuaraan di belakang Leclerc apabila mengurangkan defisit 45 mata kepada 27 mata, sekali gus menyaksikan persaingan hebat antara kedua-duanya dan pasukan mereka.

"Memang sukar untuk mencapai sesuatu seperti itu, tetapi semalam dan sehari sebelumnya, kami melakukannya," kata Verstappen.

"Ia kelihatan seperti hujung minggu yang gagah. Berikutan keadaan cuaca, anda tidak tahu betapa sukarnya saingan dan saya fikir kami bertindak dengan cukup baik dan keputusan satu dua ini memang wajar.

"Permulaan memang penting, tetapi selepas itu berdasarkan situasi semasa dan menukar tayar kerana ketika mendahului, anda perlu meneruskan kepantasan."

Perez berkata, dia bangga kerana menghadirkan senyuman kepada pasukan Red Bull.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 8:17 AM