VERSTAPPEN akui terpaksa berlumba dalam keadaan berhati-hati kerana trek yang licin. -FOTO AFP
VERSTAPPEN akui terpaksa berlumba dalam keadaan berhati-hati kerana trek yang licin. -FOTO AFP
AFP

Imola, Itali: Juara dunia Max Verstappen meraih petak utama untuk acara pecut di Grand Prix Emilia Romagna selepas mengatasi Charles Leclerc dengan kelebihan 1.2 saat dalam acara kelayakan semalam.

Pelumba berusia 24 tahun itu memandu jentera Red Bull dengan berhati-hati bagi mengelak insiden tak diingini pada sesi kelayakan yang menyaksikan beberapa siri kemalangan berlaku berikutan litar licin.

Ia adalah petak utama Verstappen musim ini dan yang ke-12 dalam kariernya. Perlumbaan pecut 100km akan menentukan petak utama untuk perlumbaan utama pada Ahad.

Lando Norris dari McLaren di petak ketiga dan pemandu Haas, Kevin Magnussen keempat. Fernando Alonso dari Alpine dan Daniel Ricciardo dari McLaren di petak kelima dan keenam.

"Ia adalah sangat sukar di luar sana dengan hujan dan trek licin. Sukar untuk memastikan suhu tayar berfungsi di sini.

"Litar ini hebat tetapi boleh menghukum anda, jadi saya gembira dengan petak utama dan ia permulaan baik untuk hujung minggu," kata Verstappen.

Bagaimanapun, juara dunia tujuh kali Lewis Hamilton dan George Russel gagal menyertai kelompok 10 teratas apabila jentera Mercedes mereka gagal mara buat kali pertama dalam tempoh sedekad.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 7:48 AM