HAFIZH menari di garaj pasukannya di Silverstone. Foto Instagram hafizh_syahrin
HAFIZH menari di garaj pasukannya di Silverstone. Foto Instagram hafizh_syahrin
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Mungkin untuk mengendurkan tekanan yang membelenggu diri, Hafizh Syahrin Abdullah sempat menari seperti penyanyi legenda Michael Jackson menjelang perlumbaan Grand Prix Britain di Silverstone, hujung minggu ini.

Hafizh membuat reaksi spontan itu ketika di garaj pasukannya NTS RW Racing GP dalam Insta Story miliknya diiringi lagu 'Smooth Criminal' nyanyian pelantun suara tersohor itu dengan komen ringkas "Freedom is awesome (kebebasan sesuatu yang hebat)."

Ternyata aksi bersahaja pelumba Moto2 negara berusia 27 tahun itu mendapat banyak reaksi daripada peminat dan pengikutnya termasuk pelawak terkenal Shuib Sepahtu.

"All the best champ!!!! @hafizh_syahrin (Semoga berjaya juara!)" tulis ringkas Shuib di ruangan komen.

"Ini baru nampak Hafizh gembira balik... ini baru betul Pescao yang dulu, selalu ceria," tulis seorang peminat @farixxmn manakala @afiq6399 menyatakan "semoga berjaya Piz, dah lama tak tengok perangai macam ini."

Ramai juga yang menganggap mekanik pasukan Hafizh dengan kepala botak yang memerhatikannya menari sebagai karakter fiksyen Dominic Toretto lakonan Vin Diesel dalam filem bersiri 'Fast and Furious'.

"Ker aku sorang je perasan abang botak tu macam Dom Toretto," komen @s.marioz9. Pengikut @hilalehsan menyatakan "Dominic Torreto pun ada..." manakala @mkunizam menulis "Toretto tu perhati je ko bang hahaha tetap santai."

Seorang peminat @affandimzin berkata: "Bangga rasa tengok mat salih mengelap moto untuk orang Melayu."

Hafizh, yang pernah berentap dalam kelas perdana MotoGP pada 2018, kini mengumpul lapan mata kejuaraan dunia selepas 11 perlumbaan dengan keputusan terbaiknya pada Grand Prix Itali di Mugello Mei lalu apabila dia menduduki tangga kesembilan.

Hujung minggu ini di Silverstone, rakan senegara Adam Norrodin bersaing dengannya dalam Moto2 apabila Adam disenaraikan dalam pasukan Petronas Sprinta Racing sebagai pengganti Jake Dixon.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 2:44 PM