HAFIZH bakal beraksi bersama pasukan baharu berpangkalan di Eropah musim depan.
HAFIZH bakal beraksi bersama pasukan baharu berpangkalan di Eropah musim depan.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Bapa Hafizh Syahrin, Abdullah Harun mengakui lega dan bersyukur kerana anaknya masih kekal beraksi di Moto2 musim depan.

Jelas Abdullah, sepertimana peminat mengharapkan Hafizh untuk terus beraksi di pentas perlumbaan berprestij itu, begitulah juga harapannya selepas memberi pendedahan kepada anaknya itu seawal usia sembilan tahun.

"Saya tidak katakan nama Hafizh cukup besar tetapi setakat ini hanya dia sahaja paling menonjol ketika ini. Kasma (Daniel Kasmayudin) pula sedang dalam proses pembelajaran untuk ikut jejak langkah Hafizh.

"Saya mahukan Hafizh terus berada di Moto2 kerana sukan permotoran memerlukan pelumba sepertinya untuk meningkatkan minat orang ramai meminati sukan ini," katanya ketika dihubungi.

Abdullah berkata, Hafizh membuktikan kejayaan kekal lama di Kejohanan Motosikal Dunia memberi kelebihan kepadanya meyakinkan pasukan lain untuk menggunakan khidmatnya.

"Sebenarnya itulah kelebihan Hafizh. Dia boleh berdikari sendiri. Saya lihat pasukan baharu yang bakal disertai Hafizh mempunyai pengurusan yang bagus dan pengurus Hafizh (Razmin Masli Abdul Razak) juga mempunyai hubungan yang baik dengan mereka," katanya.

Abdullah juga menggesa ibu bapa supaya terus memberi dorongan kepada anak masing-masing sekiranya berminat menceburi sukan permotoran dan meletakkan mereka di platform yang betul seperti Kejuaraan Cub Prix Malaysia.

Razmin menerusi laporan Arena Metro semalam mengesahkan pelumba yang mendapat gelaran El Pescao itu akan kekal beraksi di Moto2 musim depan bersama pasukan yang berpangkalan di Eropah dan pengumuman mengenainya akan dilakukan di Valencia.

Hafizh yang ketika ini beraksi bersama pasukan Aspar, menduduki tangga ke-20 kedudukan pelumba Moto2 dengan mengumpul 21 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 2:53 PM