ADAM (dua kanan) bersama rakan senegara yang lain. FOTo FB Adam Norrodin
ADAM (dua kanan) bersama rakan senegara yang lain. FOTo FB Adam Norrodin
BERNAMA

Kuala Lumpur: Demi mengharumkan nama negara di Kejuaraan FIM CEV Repsol 2021 di Sepanyol, empat pelumba berbakat negara sanggup berkorban masa bersama keluarga dan menyambut ketibaan Syawal di perantauan.

Adam Norrodin, Sharul Ezwan Mohd Sharil, Syarifuddin Azman dan Muhammad Hakim Danish Ramli kini berada di Sepanyol untuk menghadapi pusingan kedua kejuaraan tersebut di Litar Ricardo Tormo pada 9 Mei dan akan berada di sana sehingga pusingan ketiga yang dijadual berlangsung 13 Jun ini.

"Masih sedih bila jauh daripada keluarga, selalu ibu bapa akan masak yang sedap-sedap pada hari raya tapi sebab kita datang sini ada matlamat, kita bukan datang sini untuk main-main, tapi untuk kerja. Jadi saya kena terima apa saya pilih kerana ini kerjaya saya," kata Adam kepada Bernama baru-baru ini.

Walaupun sudah tahun kelima menyambut Aidilfitri di perantauan, Adam yang beraksi dalam saingan Moto2 kejuaraan itu berkata perasaannya masih sedih dan belum dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan sambutan Aidilfitri tanpa keluarga tersayang di sisi.

Membawa matlamat untuk mengharumkan nama Malaysia dan mengejar cita-cita meraih gelaran juara dunia Kejuaraan CEV Repsol, beliau rela memendam perasaan rindu kepada keluarga dan fokus dengan kariernya di perantauan.

Situasi sama turut dirasai Syarifuddin Azman atau dikenali sebagai "Damok" yang pertama kali berpuasa di perantauan dan beliau memberitahu pada mulanya keluarga sukar untuk melepaskannya beraya di negara orang.

"Keluarga terutama mak agak sedih apabila saya beritahu terpaksa beraya di perantauan. Tapi saya kena sesuaikan diri kerana saya ada tugasan untuk dilaksanakan," kata Syarifuddin yang bersaing dalam Moto3.

Sementara itu, Sharul Ezwan yang bersaing dalam European Talent Cup (ETC) pula mengakui terkesan dan pilu apabila membuat panggilan video bersama keluarga yang sedang bersiap sedia menyambut Aidilfitri.

Namun, lain pula perasaan bagi pelumba cilik berumur 14 tahun, Muhammad Hakim Danish yang kini berada di Sepanyol bagi mempelajari ilmu daripada tiga pelumba negara itu walaupun ini kali pertama berpuasa serta menyambut Syawal di luar negara dan berjauhan daripada keluarga.

"Mak dan ayah saya okay saja, mereka cakap tak ada apa, saya tak ada rasa sedih sebab dapat bawa motor, kat sini best dan dapat beraya dengan abang-abang yang lain," katanya.

Sementara itu, Zulfahmi Khairuddin yang mengetuai Program Pembangunan Bakat SIC, berkata pada awalnya mereka bercadang untuk pulang ke tanah air pada 10 Mei selepas perlumbaan pusingan kedua pada 9 Mei.

Namun, bekas pelumba Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) itu berkata memandangkan tarikh pusingan ketiga hanya kira-kira lebih sebulan dan selepas mengadakan perbincangan bersama barisan pelumba, mereka memutuskan untuk terus berada dan menjalani latihan di Sepanyol bagi menghadapi pusingan ketiga kejuaraan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 1:41 PM