KASMA (depan) tumpu tamatkan baki perlumbaan. -Foto fail
KASMA (depan) tumpu tamatkan baki perlumbaan. -Foto fail
Sukhairi Thani


BIARPUN hala tuju Kasma Daniel Kasmayudin untuk tahun depan masih menjadi teka-teki, pelumba berbakat negara itu jelas masih mempunyai ‘misi tersendiri’ untuk diselesaikan apabila pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017 berlangsung di Dataran Bandar Penawar, Johor, hujung minggu ini.

Pelumba berusia 17 tahun itu jelas mahu menggembirakan penyokongnya di laman sendiri meskipun sudah merangkul gelaran juara keseluruhan bagi kelas CP150 selepas pusingan kesembilan di Pulau Pinang dibatalkan dengan mengumpul 125 mata, 25 mata mengatasi Ahmad Afif Amran di kedudukan kedua.

Kasma yang turut beraksi dalam kelas Moto3 di Kejuaraan Motosikal Remaja Dunia (CEV Repsol) di Sepanyol tahun ini berkata, pasukannya sudah mempunyai perancangan bagi menghadapi musim depan dan fokusnya ketika ini adalah untuk menamatkan baki perlumbaan.

“Perancangan ketika ini sudah ada dan perbincangan mengenainya juga sedang berjalan. Jadi, terpulang kepada pasukan untuk menentukan hala tuju saya selepas musim 2017 berakhir,” kata pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu.

“Buat masa ini, saya hanya memikirkan mengenai perlumbaan Cub Prix minggu ini. Saya mahu menikmati dan meraikan kejayaan saya bersama pasukan, keluarga dan penyokong. Selepas semuanya berakhir, baru saya akan memikirkan mengenai musim hadapan.

“Perlumbaan di laman sendiri sangat penting. Saya sudah menang semuka perlumbaan di Johor dalam kategori CP115 serjal 2015. Jadi saya mahu mengekalkan rekod yang ada sebagai hadiah kepada keluarga dan penyokong saya. Lagipun ini perlumbaan terakhir, sudah tentu saya ingin menamatkannya dengan bergaya.”

Pelumba Program Pembangunan Bakat PETRONAS itu juga mengenepikan pusingan akhir CEV Repsol hujung minggu ini bagi memberi tumpuan kepada saingan Cub Prix yang baginya amat penting sebelum membuka lembaran baharu tahun depan.

Selepas lapan pusingan dalam saingan CEV Repsol, Kasma hanya mengumpul enam mata dan menutup tirai musim pertamanya berada di tangga ke-29 daripada 37 pelumba.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 8:40 PM