Datuk Razlan Razali. FOTO File NSTP
Datuk Razlan Razali. FOTO File NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemilihan pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) adalah berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan dan bukanlah dilakukan dengan 'tangkap muat' hanya kerana mahu memenuhi kehendak peminat semata-mata.

Prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali berkata, usaha membangunkan pelumba muda untuk menyertai kejohanan dunia bukanlah perkara mudah dan perlu dilakukan lebih berhati-hati supaya bakat dan kemampuan mereka tidak sia-sia.

Beliau berkata, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sentiasa dalam proses membangunkan pelumba muda negara dengan menyenaraikan bakat tempatan di beberapa perlumbaan utama seperti CEV Eropah dalam kelas Moto2 dan Moto3 sebelum dinilai untuk diserap ke pasukan SRT.

"Kami sentiasa membangunkan pelumba muda Malaysia tetapi tentunya mengambil masa dan kesabaran. Kita tak mahu meletakkan mana-mana pelumba begitu saja hanya kerana kehendak peminat.

"Saya tahu, ada sesetengah peminat tak kisah mengenai bagaimana prestasi seseorang pelumba itu, ada juga sesetengah komen 'duduk di belakang pun tak apa'.

"Namun kita tak mahu begitu, kita mahu memastikan pelumba muda Malaysia bersedia, kompetitif, mencapai sasaran diletakkan kerana banyak data yang boleh dibandingkan dengan pelumba Eropah yang lain semasa di CEV Moto2 dan Moto3.

"Tapi kalau meletakkan mereka hanya kerana desakan peminat, kamu hanya merosakkan karier (pelumba), mencipta perkara negatif kepada (hasil program) pembangunan dan segala-galanya. Jadi, kita mahu melahirkan seorang pelumba negara yang kompetitif dan ia mengambil masa dan kesabaran," katanya.

Ketika ini, SIC mempunyai pasukan pelapis dikenali sebagai SIC Racing Team dan disertai lima pelumba muda yang beraksi di Kejuaraan CEV Moto2 Eropah, Kejuaraan CEV Moto3 Remaja Dunia, European Talent Cup (ETC) dan Asia Talent Cup (ATC).

Selain itu, SIC turut mempunyai program pencarian bakat di peringkat akar umbi dikenali sebagai SIC MiniGP.

Bagi musim 2021, Adam Norrodin dijadual menyertai Kejuaraan CEV Moto2 Eropah manakala Syarifuddin Azman mewakili pasukan dalam saingan Kejuaraan CEV Moto3 Remaja Dunia.

Sharul Ezwan Sharil bakal menyertai saingan ETC.Kategori ATC pula, Sharul Ezwan atau dikenali sebagai Juan bergandingan dengan Danial Syahmi Ahmad Shahril yang bakal membuat kemunculan semula selepas 2018 bersama juara sulung SIC MiniGP dalam kelas 160cc, Muhammad Hakim Danish Ramli.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 10:25 PM