ADAM pamer peningkatan positif berbanding pencapaian tahun lalu. FOTO IHSAN SIC
ADAM pamer peningkatan positif berbanding pencapaian tahun lalu. FOTO IHSAN SIC
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun tidak mencapai sasaran lima terbaik, pelumba Moto2 negara dalam saingan Kejuaraan CEV Repsol, Adam Norrodin mampu menarik nafas lega kerana berjaya menamatkan saingan keseluruhan di tangga ketujuh musim ini.

Pencapaian berkenaan boleh dilihat sangat positif apabila musim lalu dia hanya menamatkan perlumbaan di tangga ke-15 dengan 35 mata.

Pelumba pelapis pasukan Sepang Racing Team (SRT) yang menyertai pasukan Liqui Moly Intact SIC Junior Team itu mengumpul 79 mata daripada lapan pusingan dalam kalendar musim yang turut diganggu pandemik Covid-19.

"Saya berada di tangga ketujuh keseluruhan kejuaraan. Satu musim yang padat dengan situasi turun naik dan saya akan mengambil keputusan ini secara positif untuk menjadi lebih baik lagi di masa depan," kata Adam atau dikenali dengan julukan 'Torete' yang menamatkan perlumbaan di Valencia kelmarin masing-masing di tempat kelapan.

Pelumba Itali dari pasukan Team Ciatti-Speed Up muncul selaku juara keseluruhan dengan 240 mata manakala Niki Tuuli (Team Stylobike) berada di tangga kedua dengan 196 mata. Berada di tangga ketiga adalah pelumba Promoracing, Alessandro Zaccone dengan 195 mata manakala Taiga Hada (AGR Team) berada di tangga keempat, 104 mata.

"Pada Perlumbaan pertama, saya kecewa dengan permulaan yang menyaksikan kedudukan saya turun dua posisi ke tempat kesembilan. Saya berusaha untuk dapatkan kembali posisi tetapi hanya mampu memintas seorang pelumba saja.

"Pada perlumbaan kedua, saya dapat permulaan yang bagus. Saya berada di kedudukan kelima dan dapat mengekalkan posisi di tempat keenam sehinggalah pusingan kedua terakhir. Saya cuba memberikan yang terbaik kerana ini adalah perlumbaan terakhir musim.

"Selepas 10 pusingan, sukar untuk saya meneruskan usaha kerana keadaan badan saya. Saya menamatkan perlumbaan di tempat kelapan. Apapun, kami sudah melakukan yang terbaik," kata Adam yang sebelum ini mengalami masalah 'arm pump' yang mengganggu tunggangan sejak pertengahan musim itu.

Selain Adam, turut beraksi di Kejuaraan CEV musim ini adalah Syarifuddin Azman yang menyertai Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia manakala Muhammad Sharul Ezwan Sharil mewakili negara dalam saingan European Talent Cup (ETC).

Syarifuddin atau dikenali sebagai Damok menamatkan saingan musim dengan mengumpul 18 mata untuk berada di kedudukan ke-19 keseluruhan manakala Sharul Ezwan tidak mengumpul sebarang mata pada tahun pertamanya beraksi di ETC.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 1:43 PM