ADAM harumkan nama negara di Valencia.
ADAM harumkan nama negara di Valencia.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelumba Moto2 negara, Adam Norrodin sekali lagi membawa khabar gembira apabila menamatkan perlumbaan Moto2 Kejuaraan Motosikal Eropah CEV di Valencia di tempat ketiga.

Adam menamatkan aksi sembilan pusingan di Litar Ricardo Tormo dengan catatan 14 minit 43.890 saat.

Tempat pertama dan kedua menjadi milik pelumba Boscoscuro Team Ciatti, Fermin Aldeguer dan Alonso Lopez masing-masing merekodkan 14:38.816 dan 14:42.568s.

Kejayaan menduduki podium buat kali kedua musim ini selepas turut cemerlang pada pusingan sebelum ini di Portugal menyuntik semangat pelumba negara itu untuk terus mengekalkan rentak konsisten.

Adam menyifatkan ia sebagai kemenangan manis dan menghadiahkan kemenangan itu kepada ibunya, Rasimah Sarmidi sempena Hari Ibu kelmarin.

"Terima kasih kepada pada pasukan dan keluarga serta penyokong di Malaysia. Saya bersyukur di atas kejayaan ini. Banyak sangat- peningkatan yang dapat dilakukan pada perlumbaan kali ini berbanding di Estoril. Tapi banyak lagi boleh diperbaiki pada pusingan seterusnya di Barcelona nanti," katanya.

Adam berkata, apa yang penting untuk terus kekalkan fokus untuk pusingan seterusnya dan menikmati setiap perlumbaan dan terus bekerja keras hingga penamat musim.

Adam bersama-sama pasukan akan menyambut perayaan Aidilfitri di perantauan apabila akan menyertai pusingan ketiga CEV di Barcelona pada 13 Jun ini.

Sementara itu, dalam saingan Moto3 wakil negara Syarifuddin Azman menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12 perlumbaan pertama dan ke-19 perlumbaan kedua manakala dalam kategori ETC Shahrul Sharil berada di kedudukan ke-20 perlumbaan pertama dan ke-16 perlumbaan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 6:00 PM