MAX Verstappen. FOTO REUTERS
MAX Verstappen. FOTO REUTERS
Reuters

London: Max Verstappen berada di kedudukan teratas senarai kemungkinan pengganti kepada juara dunia tujuh kali Formula Satu (F1), Lewis Hamilton di Mercedes pada 2025, menurut bos pasukan, Toto Wolff.

Juara dunia tiga kali itu mempunyai kontrak dengan Red Bull sehingga 2028 tetapi masa depannya bersama pasukan itu diselubungi oleh keretakan hubungan antara bapanya, Jos dan prinsipal pasukan, Christian Horner.

Mercedes kehilangan khidmat Hamilton pada penghujung musim ini kepada Ferrari, dengan pemenang Grand Prix Australia Ahad lalu, Carlos Sainz kehilangan tempat duduknya.

"Kami mempunyai slot untuk diisi, satu-satunya dalam pasukan utama. Kecuali Max memutuskan untuk sertai (Mercedes), maka slot itu tidak akan ada lagi," kata Wolff kepada Fox Sports Australia dalam satu temu bual di Melbourne.

Temu bual itu, yang berlangsung selepas sesi kelayakan, tidak diendahkan ketika selepas itu, tetapi banyak komen yang menarik perhatian.

Ditanya sama ada Verstappen akan menjadi pilihan nombor satu, Wolff menjawab: "Ya. Anda lihat tahap prestasinya tetapi saya tidak mahu menafikan kemampuan pemandu lain juga."

Wolff pernah cuba menandatangani Verstappen ketika zaman remajanya sebelum dia menyertai Red Bull tetapi Wolff tidak dapat menawarkannya tempat duduk F1 serta-merta.

Wolff berkata dia mempunyai hubungan baik dengan Jos Verstappen dan mengadakan pertemuan di Vienna untuk membincangkan masa depan Verstappen, tetapi pemandu itu sudah mendapat tawaran daripada Red Bull pada ketika itu.

"Ia sejenis hubungan yang perlu berlaku pada peringkat tertentu, tetapi kami tidak tahu bila," katanya ketika ditanya sama ada akan menandatangani Verstappen.

Wolff juga menyebut juara dunia berganda, Fernando Alonso, Sainz dan rookie F2 yang disokong Mercedes, Kimi Antonelli sebagai pilihan memandu jentera F1 Mercedes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 9:16 AM