PELUMBA Sepanyol, Jorge Martin mencuim trofi selepas memenangi perlumbaan Grand Prix Styria di Litar Red Bull Ring di Spielberg, Austria, hari ini. FOTO AFP
PELUMBA Sepanyol, Jorge Martin mencuim trofi selepas memenangi perlumbaan Grand Prix Styria di Litar Red Bull Ring di Spielberg, Austria, hari ini. FOTO AFP
AFP

Spielberg, Austria: Pelumba muda, Jorge Martin daripada pasukan Ducati-Pramac memenangi perlumbaan MotoGP pertama di Grand Prix Styria, hari ini.

Dia menamatkan perlumbaan dengan kedudukan selesa di depan rakan senegara dari Sepanyol yang juga juara bertahan, Joan Mir.

Pelumba Perancis, Fabio Quartararo yang menunggang Yamaha menduduki tempat ketiga pada perlumbaan yang diadakan semula selepas kemalangan membabitkan pelumba Sepanyol, Dani Pedrosa dan pelumba Itali, Lorenzo Savadori sehingga motosikal mereka terbakar di pusingan ketiga.

Martin yang juga juara bertahan Moto2 bermula di petak utama dan menggunakan kelebihan sebaik perlumbaan diadakan semula.

Dia mendahului sejak awal untuk menamatkan perlumbaan 1.58 saat di depan juara MotoGP, Mir.

Kemenangan itu mengesahkan penguasaan Ducati di Red Bull Ring yang dianggap litar terpantas dalam MotoGP, apabila pengeluar itu menang lima perlumbaan berturut-turut selepas diganggu Miguel Oliveira yang menunggang KTM, tahun lalu.

Manakala Mir pula merekodkan keputusan terbaik dalam usaha mempertahankan gelarannya.

Quartararo menamatkan perlumbaan lapan saat kemudian, di depan pelumba Australia, Brad Binder yang menunggang KTM.

Pedrosa yang cergas untuk meneruskan perlumbaan menggunakan motosikal gantian dan menduduki tempat ke-10.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 10:16 PM