ARIARNE bersama pingat emas miliknya. FOTO AFP
ARIARNE bersama pingat emas miliknya. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Ariarne Titmus mengejutkan Katie Ledecky untuk meraih emas 400m gaya bebas di Sukan Olimpik dengan catatan kedua terpantas dalam sejarah manakala perenang Amerika Syarikat itu meraih perak.

Kedua-dua mereka bersaing sengit menuju 50m terakhir sebelum Ariarne terlebih dahulu mencecah tembok dengan masa 3min 56.69s. Hanya pemegang rekod dunia, Katie yang lebih pantas daripada itu.

Katie mencatat 3:57.36s manakala jaguh China, Li Bingjie ketiga (4:01.08s).

"Pada 200m, saya agak bimbang, seperti saya tahu dia akan ada di sana. Tiada siapa ke Olimpik terutamanya Katie dengan tanpa persediaan,'' kata Ariarne.

"Jadi saya perlu percaya diri sendiri. Saya cuba tenangkan diri dan menggunakan kepantasan yang ada. Dapat menewaskan pencabar seperti Katie, cukup memuaskan hati saya.''

Katie hadir ke Jepun dengan reputasi pemenang empat emas dan satu perak di Rio 2016 tetapi Ariarne tidak kurang hebat apabila muncul juara dunia 2019 selain mencatat masa terbaik musim ini.

"Saya tak perlu kecewa dengan kekalahan ini, catatan saya juga bagus dan dia juga mempamerkan renangan yang baik, '' kata Katie.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 11:48 AM