DEAN Boxall merentap tali pelitup muka hingga putus ketika meraikan kemenangan perenangnya, semalam. FOTO Agensi
DEAN Boxall merentap tali pelitup muka hingga putus ketika meraikan kemenangan perenangnya, semalam. FOTO Agensi
AFP

Tokyo: Jurulatih renang Australia yang tular kerana cara meraikan kemenangan yang disifatkan ganas di Sukan Olimpik Tokyo 2020, meminta maaf kerana menarik tali pelitup muka hingga putus dan melanggar peraturan sekatan terhadap Covid-19.

Dean Boxall tidak dapat menahan keseronokan selepas perenangnya, Ariarne Titmus memang pingat emas acara 400m gaya bebas mengatasi perenang Amerika Syarikat (AS), Katie Ledecky, semalam.

Sambil menjerit kegembiraan, jurulatih berambut panjang itu menyepak ke udara dan mengangkat penumbuk sebelum menarik tali pelitup mukanya sehingga putus sambil memegang penghadang.

Seorang sukarelawan kemudian menenangkannya, tetapi gelagat Boxall itu dikatakan seperti aksi penggusti popular AS digelar 'Ultimate Warrior', yang dikenali kerana suka menggegarkan tali gelanggang.

Bagaimanapun, dia mengakui bertindak melampau melanggar protokol Covid-19 yang diperkenalkan penganjur bagi mengekang jangkitan wabak itu sepanjang Tokyo 2020.

"Saya perlu minta maaf kerana saya tarik pelitup muka dan ia terkoyak," katanya. "Saya tidak sedar ketika itu."

Boxall berkata, dia tidak mampu mengawal perasaannya dan terlalu gembira selepas melatih Ariarne selama enam tahun dan melihat gadis itu mengatasi kesempurnaan untuk menewaskan Katie.

"Ia aksi spontan," katanya. "Ia mula terasa ketika peringkat awal dan apabila melihat perlumbaan, saya tidak mampu menahannya. Ia keluar dari tubuh saya."

Sementara itu, Ariarne berkata: "Itu memang cara Dean. Dia memang bersemangat dengan apa yang dilakukan dan kadang-kala melucukan.

"Dia memberikan 100 peratus apabila menjadi jurulatih rennag dan mengorbankan banyak masa bersama keluarga kerana tugas itu."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 7:12 PM