PERENANG AS, Katie Ledecky pada sesi latihan di Pusat Akuatik Tokyo menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020. FOTO AFP
PERENANG AS, Katie Ledecky pada sesi latihan di Pusat Akuatik Tokyo menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Katie Ledecky berada dalam keadaan terbaik dan semakin meningkat setiap hari dalam usaha mencipta pencapaian luar biasa acara gaya bebas di Sukan Olimpik Tokyo, kata jurulatih renang Amerika Syarikat (AS), Greg Meehan, hari ini.

Perenang sensasi berusia 24 tahun itu menjadi sasaran merangkul pingat emas acara 200m, 400m, 800m dan 1,500m, selain kemungkinan acara berganti-ganti, sekali gus menyaksikan jadual padat menantinya.

Dia turut bakal berdepan tentangan sengit perenang Australia, Ariarne Titmus, yang memberikan cabaran dengan mencipta masa terpantas dunia dalam acara 200m dan 400m pada tahun ini.

Bagaimanapun, Meehan berkata, Ledecky tidak terkesan dengan harapan tinggi terhadapnya dan kekal dengan pelannya iaitu semakin meningkat setiap hari.

"Latihan percubaan AS bertujuan memastikan dia kekal fokus terhadap tugasannya dan membuatkan dia berada dalam pasukan walaupun beraksi secara individu," katanya di Pusat Akuatik Tokyo sebelum kejohanan bermula Sabtu ini.

"Ketika latihan menjelang Olimpik di Hawaii, dia terus meningkat dan semakin baik setiap hari. Saya seronok melihat keadaannya pada ketika ini," katanya.

"Dia cintakan Sukan Olimpik dan pentas terbesar buatnya sejak sembilan tahun lalu. Dia berada di tempat yang hebat sekarang."

Katie yang menang emas acara 200m, 400m, 800m dan acara 4x200m berganti-ganti di Rio pada 2016, akan memulakan misinya dengan acara saringan 400m, Ahad ini sebelum acara 200m, keesokannya.

Menurutnya, selepas sesi ujian pasukan AS, dia langsung tidak bimbang mengenai cabaran musuhnya.

"Saya tidak mampu mengawal apabila seseorang berenang dengan pantas dan menewaskan saya," katanya.

"Saya hanya tumpukan kepada catatan masa saya dan bagaimana mahu berenang dalam setiap acara. Paling penting, saya mencapai sasaran sendiri."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 5:23 PM