Atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan menyasarkan rekod peribadi iaitu ingin melakukan angkatan 315kg pada tahun ini. - Foto Amirul Fazli Zulkafli.
Atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan menyasarkan rekod peribadi iaitu ingin melakukan angkatan 315kg pada tahun ini. - Foto Amirul Fazli Zulkafli.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pemenang Olahragawan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2023, Mohamad Aniq Kasdan kini beralih tumpuan untuk melakar lebih banyak kejayaan dalam acara angkat berat dan sasaran untuk dirinya kali ini adalah mencipta rekod baharu dengan melakukan angkatan 305 kilogram (kg).

Aniq yang beraksi dalam Kumpulan C kategori 61kg berkata, kejayaan meraih kemenangan olahragawan buat kali kedua berturut-turut memberi motivasi tambahan bagi dirinya untuk tampil lebih cemerlang dalam setiap kejohanan selepas ini termasuk memastikan slot ke Olimpik Paris 2024 lebih cerah.

Jelasnya, dia akan menyertai kejohanan Angkat Berat Dunia di Phuket, Thailand pada April ini dan akan melakukan yang terbaik bagi memastikan kedudukannya lebih selamat selain penting memandangkan ia peluang terakhir untuk semua atlet mendapatkan mata ke Olimpik Paris.

"Sasaran peribadi saya untuk tahun ini (2024) adalah 305kg. Saya akan cuba capai (angkatan) itu. Untuk kejohanan di Thailand (kejohanan Angkat Berat Dunia) pada April nanti, saya sasar 300kg angkatan dahulu.

"Untuk sesi terakhir bagi kelayakan ke Olimpik (Paris) pada bulan April ini di Thailand, selepas itu baru akan dapat senarai 10 atlet terbaik yang akan ke Olimpik Paris 2024.

"Dari segi persaingan dengan (Muhamad) Aznil (Bidin), alhamdullilah persaingan sihat dan kami sering menyokong satu sama lain. Di mana saya kurang pengalaman, saya akan bertanya kepada dia. Ketika ini saya juga bebas dari segala kecederaan ,"katanya ketika ditemui di Majlis Anugerah Sukan UiTM 2023, semalam.

Selain itu, Aniq turut memberi respon positif mengenai program Road To Gold (RTG) kerana banyak membantu dirinya dari segi motivasi, penggunaan peralatan Majlis Sukan Negara serta Institut Sukan Negara sehingga membantu pulih dari kecederaan lebih.

Berdasarkan rekod, jika mengikut ranking Kelayakan Olimpik Paris 2024 bagi acara dan kategori atlet berusia 22 tahun itu berada di tangga ketujuh sekali gus memberi tanda positif untuk memastikan dirinya layak muncul di temasya terbesar dunia itu pada Ogos depan.

Atlet kelahiran Johor itu berjaya menampilkan prestasi terbaik pada Kejohanan Angkat Berat Antarabangsa di Qatar pada Disember tahun lalu apabila melakukan angkatan 126kg dalam 'snatch' sebelum mengukuhkan kedudukan menyempurnakan angkatan 170kg bagi 'clean and jerk' sekali gus merekodkan angkatan keseluruhan 296kg.

Lebih manis, ia rekod baharu mengatasi rekod kebangsaan 291kg miliknya sendiri ketika memenangi pingat gangsa pada Kejohanan Angkat Berat Dunia 2023 di Riyadh, Arab Saudi pada September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 1:44 PM