AHMAD Shapawi tidak terkejut dan yakin bahawa sebahagian besar dari jumlah itu membabitkan badan sukan yang berstatus kelab. FOTO NSTP
AHMAD Shapawi tidak terkejut dan yakin bahawa sebahagian besar dari jumlah itu membabitkan badan sukan yang berstatus kelab. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan sukan yang dikenakan tindakan pembatalan atau penggantungan oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS) tidak akan lagi akan 'merasa' peruntukan yang disediakan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, situasi lebih seribu badan sukan disyaki tidak aktif atau 'hilang' selepas berdaftar dengan PJS bukanlah satu perkara yang mengejutkan pihaknya.

Beliau berkata, kemungkinan perkara itu berlaku bertujuan pihak berkaitan mahu memohon peruntukan sekali gus membolehkan mereka membuka akaun bank bagi urusan kewangan.

Katanya, persatuan sukan berkenaan yang sudah memperoleh peruntukan tidak lagi aktif menjalankan aktiviti sekali gus menimbulkan persoalan berkaitan dana terbabit.

"Saya tidak terkejut dan yakin bahawa sebahagian besar dari jumlah itu membabitkan badan sukan yang berstatus kelab yang mana apabila mereka memohon didaftarkan, ahli atau anggota mereka hanyalah terdiri dari dua atau tiga orang tertentu sahaja.

"Malah, tidak mengejutkan sekiranya mereka turut menamakan atau memilih dan melantik beberapa individu atas dasar nama sahaja sedangkan individu itu sendiri tidak maklum bahawa mereka adalah ahli jawatankuasa kepada kelab atau badan sukan tertentu," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan bahawa timbul tanda tanya membabitkan 1,860 persatuan sukan di negara ini yang didapati 'hilang' tanpa khabar berita selepas didapati gagal menghantar laporan Maklumat Yang Kena Beri (MYKB) untuk tempoh tiga tahun berturut-turut kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Jumlah terbabit boleh dikatakan agak mengejutkan kerana semua persatuan itu tidak pernah menghantar laporan berkenaan yang dilihat cukup penting untuk mengetahui perkembangan terkini mereka terutama membabitkan aliran dana diterima daripada kerajaan negeri dan MSN.

Sementara itu, Shapawi berkata, persatuan sukan peringkat kebangsaan yang dikenakan tindakan penggantungan atau pembatalan akan diambil alih oleh MSN membabitkan pengurusan program latihan supaya persediaan dan kebajikan atlet negara tidak terjejas.

"Saya berharap supaya persatuan sukan kebangsaan terbabit dapat mengambil tindakan pembetulan segera apatah lagi dengan kelonggaran yang diberikan untuk mengadakan Mesyuarat Agong s supaya ianya dapat dipulihkan kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2022 @ 10:27 PM