AZIZULHASNI kini berlatih bersama skuad berbasikal trek negara di Sepanyol. FOTO FB AZIZULHASNI AWANG
AZIZULHASNI kini berlatih bersama skuad berbasikal trek negara di Sepanyol. FOTO FB AZIZULHASNI AWANG
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Segala keperluan tambahan atlet berbasikal trek yang berada dalam program Road To Gold (RTG) hanya akan dikemukakan kepada jawatankuasa program itu selepas mereka tiba di tanah air pada 17 April ini.

Ketika ini, atlet terbabit iaitu Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom sedang menjalani kem latihan kebangsaan di Mallorca, Sepanyol.

Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh berkata, pihaknya akan berbincang dengan kedua-dua atlet itu mengenai bantuan tambahan diperlukan.

Katanya, perbincangan itu penting bagi mengenalpasti bentuk bantuan diperlukan pasukan dalam usaha memburu kilauan pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024.

"Saya fikir yang paling penting adalah peralatan digunakan pelumba dan R&D (penyelidikan dan pembangunan). R&D sangat penting dan kita bercakap mengenai peralatan, pakaian dan sebagainya.

"Ini semua perkara yang mampu memberikan kesan untuk membantu daripada sudut kelajuan, catatan masa dan sebagainya. Saya fikir bantuan itu ada (Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan Kementerian Belia dan Sukan).

"Namun daripada sudut tambahan yang mungkin diperlukan (RTG), kita akan bincang dengan jurulatih, apakah yang jurulatih perlukan, apakah yang pasukan perlukan dan apakah atlet perlukan daripada RTG ini dan kita (PKBM) boleh minta ditunaikan," katanya.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan senarai 15 atlet yang menyertai RTG dengan dua daripadanya adalah Azizulhasni dan Shah Firdaus.

Dua lagi atlet adalah daripada sukan terjun iaitu Datuk Pandelela Rinong Pamg dan Nor Dhabitah Sabri manakala selebihnya membabitkan pemain badminton.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 4:53 PM