Pemain sepak takraw Jerman, Kevin Tanay.
Pemain sepak takraw Jerman, Kevin Tanay.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Tiada jurulatih serta fasiliti lengkap namun itu bukan halangan buat pemain sepak takraw Jerman, Kevin Tanay untuk belajar dan menjadikan Youtube sebagai 'guru' dan sumber rujukan untuk dia mahir teknik gulung.

Menurutnya, dia perlu mencari inisiatif sendiri untuk belajar lebih mendalam disebabkan begitu minat dan mengambil masa hampir dua tahun untuk menguasai teknik itu.

Jelas Kevin, dirinya adalah seorang pekerja dalam bidang profesional iaitu Kejuruteraan Alam Sekitar sepenuh masa mengakui dia perlu bermain memakai cermin mata untuk menjadikan dirinya lebih baik di dalam gelanggang.

"Di Jerman sedikit sukar kerana kami tiada jurulatih. Jadi, apa yang saya buat adalah belajar dari YouTube.

"Saya hanya menonton YouTube dan kemudian buat gulung di sana tapi terdapat sedikit masalah iaitu mereka (video tutorial) bercakap bahasa Thailand atau Bahasa Melayu.

"Saya tidak faham. Jadi, itulah sebabnya saya cuba buat gerakan dan belajar sendiri. Ia sangat sukar, saya akui perkara itu.

"Saya suka sukan ini. Jadinya, saya bermula dengan bola sepak tetapi ia seperti tidak begitu sesuai untuk saya. Untuk sepak takraw, saya suka kemahiran melompat, membuat libasan, gulung, dan ia sangat mengagumkan," katanya.

Tambahnya, dia yang menjadikan sukan sepak takraw sebagai hobi itu hanya berlatih dua kali dalam seminggu dan kadang-kala akan menyertai kejohanan di luar negara bagi meningkatkan lagi kemahiran individu dan pasukan.

"Tiada liga cuma kejohanan setiap bulan di seluruh Eropah. Jadi, saya pergi ke Switzerland, Belgium, Perancis, dan beberapa negara lagi. kami mengadakan kejohanan di sana, tetapi kami bermain bukan untuk pasukan kebangsaan, kami beraksi bagi kelab.

"Di German mungkin ada sekitar lima hingga tujuh pasukan sahaja dan pemain pula dalam 50 hingga 60 pemain sahaja di seluruh German,"kata Kevin.

Terdahulu, Germain yang beraksi di Division dalam acara double buat pertama kali di di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 mempamerkan prestasi yang cukup membanggakan dan hampir ke final namun terpaksa akur tewas kepada Taiwan di separuh akhir dalam pertarungan tiga set 15-10, 14-17, 12-15 untuk membawa pulang pingat gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 4:59 PM