Pemain utama negara, Syahir Rosdi
Pemain utama negara, Syahir Rosdi
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Skuad sepak takraw Malaysia perlu mendapatkan mata setiap kali melakukan servis memandang menjadi ukuran sama ada pasukan negara akan memenangi perlawanan itu atau sebaliknya.

Pemain utama negara, Syahir Rosdi berkata, sistem baharu yang digunakan di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 kali ini lebih tertumpu kepada tekong itu sendiri kerana ia memainkan peranan sangat penting dalam permainan.

Disebabkan itu, servis yang dilakukan harus tajam serta konsisten dan tiga pemain di dalam gelanggang perlu memastikan sistem pertahanan sentiasa terbaik.

Selain itu, Syahir juga berpendapat bahawa sistem 15 mata satu servis ini tidak memihak kepada mana-mana negara sebaliknya ia sama saja untuk semua negara.

"Saya setuju tekong tu memainkan peranan. Tekong dengan pertahanan. Tapi buat masa ini yang menggunakan servis tunggal, memang tekong. Kalau tekong tidak boleh cari mata, tak konsisten. Memang pihak lawan pergi mata 2, 3 mata (menjarakkan kedudukan), dah jauh memang susah kita nak kejar balik.

"Seperti final menentang Thailand (acara regu), saya belum cukup baik. Pertahanan pun belum bagus. Ada yang kurang cantik dari segi servis. Memang konsisten tapi tak masuk dekat target yang saya nak tuju. Kena perbaiki sikit.

"Sasaran pula biar konsisten, macam saya, saya sasar nak ke feeder, pergi ke killer. Ada benda-benda sikit-sikit nak kena perbetulkan,"katanya.

Pada sama sama, ketika ditanya sama ada dirinya lebih selesa bermain dengan sistem 15 atau 21 mata, dia berkata sebagai pemain, mereka perlu lebih bersedia dengan apa jua keputusan yang dilakukan oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).

"Bagi kami pemain, tak ada masalah. Apa yang mereka (Istaf) buat pun. Cuma kalau 21 mata, kita kena cepat sesuaikan diri, dengan 15 pun sama kita akan cepat 'adapt'. Apa-apa keputusan daripada Istaf, kita sentiasa bersedia.

"Saya sebagai pemain, saya kena galas tanggungjawan itu. Sama ada ia 15 atau 21 mata, saya kena kena galas. Tak boleh bagi alasanlah," katanya.

Untuk rekod, Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 memperlihatkan buat kali pertama kali sistem 15 mata satu servis digunakan bertujuan bagi memastikan perlawanan itu tidak menjadi terlalu lama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 4:01 PM