ABDUL Halim dan Suhaili (empat dari kiri) di Kongres Istaf.
ABDUL Halim dan Suhaili (empat dari kiri) di Kongres Istaf.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dilihat semakin yakin dengan kemampuan badan induk baru sukan sepak takraw negara, Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (Mastaf) dalam meningkatkan pembangunan sepak takraw di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.

Dalam pemilihan Kongres Istaf semalam, Presiden Mastaf, Datuk Suhaili Abd Rahman dipilih menjadi naib presiden baharu badan induk sepak takraw antarabangsa itu.

Menurut Setiausaha Agung Istaf, Datuk Abdul Halim Kader dalam satu kenyataan, mengakui pemilihan Suhaili membuktikan kepimpinan beliau menerajui Mastaf bersama pasukannya mendapat kepercayaan yang diyakini akan membantu pembangunan sukan sepak takraw di Malaysia dan peringkat antarabangsa.

"Saya yakin kepimpinan Mastaf akan terus menyinar selepas diberi kepercayaan untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Sepaktakraw Dunia Bawah 21 tahun yang akan dianjurkan pada minggu kedua Jun 2023. Venue pertandingan dicadangkan sama ada di Kuala Lumpur atau Sabah," katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Jeneral Dr Charouck Arirachakaran dari Thailand mengekalkan jawatannya sebagai Presiden Istaf untuk penggal 2022/2026 selepas mengatasi Karen Claire T Caballero dari Filipina dengan 32 undian berbanding empat undi yang diraih pencabarnya itu.

Bagi dua jawatan timbalan presiden pula menjadi milik Boonchai Lorhpipat dari Thailand dan Gum Yeon Goo dari Korea Selatan selepas masing-masing menang tanpa bertanding.

Dalam ucapan perasmian Kongres, Abdul Halim turut mengumumkan bahawa Istaf turut menjadi ahli Persekutuan Persatuan Sukan Antarabangsa Global (GAISF), Perikatan Ahli Sukan Bebas yang Diiktiraf (AIMS), Persekutuan E-Sport Global (GEF) dan Ahli Persatuan Sukan Antarabangsa untuk Semua (TAFISA).

Abdul Halim turut memaklumkan kepada Kongres bahawa sepak takraw dimasukkan oleh Majlis Olimpik Asia (OCA) dalam Sukan Asia Jepun 2026, Doha 2034 di Qatar dan Riyadh 2034 di Arab Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 4:35 PM