AMINUDDIN (dua dari kiri) menerima cenderahati daripada Abdul Karim sambil diperhatikan Fatimah pada majlis promosi Sukma Ke-21 2024 Sarawak di Seremban, hari ini. FOTO MOHD AMIN JALIL.
AMINUDDIN (dua dari kiri) menerima cenderahati daripada Abdul Karim sambil diperhatikan Fatimah pada majlis promosi Sukma Ke-21 2024 Sarawak di Seremban, hari ini. FOTO MOHD AMIN JALIL.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan Sarawak membelanjakan RM300 juta bagi menganjurkan Sukan Malaysia (Sukma) Ke-21 2024, yang akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perbelanjaan itu termasuk membabitkan naik taraf gelanggang sukan, logistik dan penganjuran temasya sukan terbesar negara itu.

"Kita masih menunggu daripada Kerajaan Pusat berapa banyak yang hendak diberikan subsidi.

"Temasya kali ini dianggap yang terbesar kerana membabitkan 37 jenis sukan dengan 484 jumlah acara.

"Lebih 15,000 atlet dan pegawai dari seluruh negara akan terbabit dalam Sukma dan Para Sukma tahun ini," katanya pada majlis Kunjungan Hormat Delegasi Sukma dan Para Sukma XXI Sarawak 2024 di Bilik Gerakan Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Exco Pembangunan Sukan negeri, Mustapha Nagoor; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Beliau berkata, sebanyak 15 kontinjen akan turut serta termasuk 13 pasukan negeri selain Wilayah Persekutuan dan Brunei.

Katanya, kejohanan akan berlangsung di sembilan bahagian di negeri itu iaitu di Kuching membabitkan 25 jenis sukan, Miri (6) Samarahan (2), masing-masing tiga jenis sukan di Bintulu, Sibu dan Mukah serta Senan (1) dan Sri Aman (1).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 10:11 PM