ABDUL Qaiyum (kanan) mampu mara ke final Sukan Sea Kemboja.
ABDUL Qaiyum (kanan) mampu mara ke final Sukan Sea Kemboja.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Bagi mencapai keputusan yang baik di Sukan Sea Kemboja, tujuh petinju negara berkampung di Thailand selama 40 hari sebagai persiapan fasa terakhir sebelum temasya itu bermula.

Menurut Presiden Persekutuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM), Datuk Mohd Iruan Zulkifli, latihan intensif itu penting bagi petinju negara merasai latihan dan juga beberapa perlawanan yang akan diatur jurulatih.

"Latihan 40 hari itu memadai buat atlet negara kerana mereka akan memberi tumpuan sepenuhnya tanpa sebarang gangguan dan mampu memberi nilai tambah untuk memburu pingat di Kemboja nanti," katanya.

Ujarnya kesemua tujuh petinju yang akan menggalas tugas di Kemboja nanti ketika ini berkampung di Thailand untuk menjalani latihan fasa akhir.

"Mereka semua akan kekal di negara gajah putih itu dan seterusnya berlepas ke Kemboja. Selain latihan biasa, merea juga akan didedahkan dengan beberapa ujian sepanjang berada di sana. Ini peluang yang baik buat petinju negara untuk mencapai tahap prestasi terbaik sebelum ke Kemboja nanti," katanya ketika ditemui di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.

Ketika ditanya mengenai peluang petinju negara di Kemboja, Iruan yakin atlet negara mampu mara sehingga ke pentas final sekali gus membawa pulang pingat buat kontinjen Malaysia.

"Saya meletakkan sepenuh keyakinan kepada kesemua atlet negara yang terpilih mewakili negara ini. Saya yakin sekurang-kurangnya tiga atlet negara mampu mara ke final," katanya.

Dalam sesi pemilihan dibuat, PTAM membariskan atlet terbaik mereka iaitu Jackson Chambai Ikeh, Muhammad Abdul Qaiyum, Daeloniel Mcdelon Bong, Muhammad Ridzuan Johari, Mohamad Akram bin Rasit, Mohamed Aswan Bin Che Azmi dan Indran Rama Krishnan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 8:08 PM