Atlet angkat berat jalani latihan.
Atlet angkat berat jalani latihan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengesahkan bahawa dua atlet yang sebelum ini dilaporkan positif penggunaan bahan terlarang adalah atlet angkat berat.

Presidennya, Datuk Ayub Rahmat berkata kedua-dua badang itu telah digantung daripada sebarang aktiviti, latihan dan kegiatan sukan angkat berat Malaysia sehingga proses pendengaran dan hukuman dijalankan.

Beliau berkata PABM akan memberikan kerjasama penuh kepada panel pendengaran serta siasatan yang akan ditubuhkan dan dilaksanakan sepenuhnya oleh Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) dalam masa terdekat.

"PABM tidak akan berkompromi dengan mana-mana atlet, jurulatih atau pegawai terbabit dengan doping. Tindakan mengambil bahan larangan ini sudah pastinya mewujudkan persaingan secara tidak sihat serta mengakibatkan maruah sukan ini tercalar.

"PABM akan mengambil tindakan lanjut berkaitan isu ini selepas keputusan penuh pendengaran dan siasatan diperoleh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ayub berkata pihaknya terus bekerjasama dengan Adamas dalam melaksanakan ceramah, bengkel, kursus dan kefahaman berkaitan anti-doping kepada semua atlet, jurulatih dan pegawai.

Sebelum ini, Pengarah Adamas Azura Abidin berkata dua atlet kebangsaan yang menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN), didapati positif pada ujian yang dilakukan pada Jun lepas tetapi tidak mendedahkan jenis sukan.

Azura turut mengesahkan bahawa kedua-dua atlet terbabit setakat ini belum meminta untuk mencabar Sampel B, dan kes masih dalam proses pengurusan keputusan di peringkat Adamas.

"Adalah menjadi obligasi Adamas untuk menjalankan tanggungjawab ini dengan sulit tanpa sebarang gangguan," kata Azura semalam.

Ini bukan kali pertama sukan angkat berat negara dikejutkan dengan kontroversi doping, apabila PABM digantung daripada menyertai sebarang aktiviti Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) selama setahun bermula 1 April 2020, selain semua atlet angkat berat Malaysia tidak dibenarkan menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020 kerana masalah doping.

PABM juga pernah didenda sebanyak AS$25,600 (lebih kurang RM110,000) pada 2019 berikutan kes doping membabitkan empat atlet negara.

PABM pada 2018 telah mengenakan hukuman penggantungan selama tiga tahun kepada pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014, Mohd Hafifi Mansor serta penggantungan empat tahun kepada Mohamad Fazrul Azrie Mohdad, Muhammad Hakimie Haikal Nordin, Muhammad Zaidi Nordin dan Ronny Jesus kerana positif doping.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 6:01 PM