MURRAY menjerit kesakitan akibat kecederaan di Terbuka Miami.
MURRAY menjerit kesakitan akibat kecederaan di Terbuka Miami.
Agensi

London: Andy Murray masih dalam kesamaran mengenai tempoh dia berehat akibat kecederaan serius buku lali yang dialami ketika tersingkir di pusingan ketiga Terbuka Miami.

Susulan nasihat daripada pasukannya dan pakar perubatan sejak beberapa hari lalu, bekas pemain nombor satu dunia itu menarik diri daripada Master Monte Carlo yang bermula 8 April.

Dia juga terpaksa melupakan Terbuka BMW di Munich yang berlangsung seminggu selepas kejohanan di selatan Perancis itu.

Pasukannya menjelaskan masih tidak dipastikan berapa lama Andy akan tersisih dan pada masa sama dia akan terus meneliti beberapa pilihan dengan pasukan perubatan.

Jurucakap Kumpulan 77 berkata: "Sudah tentu ia berita mengecewakan buat Andy (terlepas kejohanan) dan dia menegaskan hasratnya untuk kembali ke gelanggang secepat mungkin.

"Dia berterima kasih kepada penyokong di atas mesej tanda sokongan dan akan terus menyampaikan perkembangan terbaru proses pemulihannya kepada mereka."

Murray sebelum ini berharap dapat menyertai Kejohanan Wimbledon yang hanya berbaki 13 minggu lagi yang juga penampilan ke-16nya dan mungkin terakhir di SW19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 10:46 AM