AKSI pemain import Pahang Rangers, Murilo Saad (kanan) pada pertemuan dengan Sabah FC. FOTO  PRFC
AKSI pemain import Pahang Rangers, Murilo Saad (kanan) pada pertemuan dengan Sabah FC. FOTO PRFC
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pahang Rangers FC mencatat kemenangan kedua selepas membenam Sabah FC 7-5 pada pada perlawanan ketiga Divisyen 1 saingan Liga Futsal Perdana Kebangsaan Malaysia (MPFL) di Kompleks Sukan Negara (KSN) Panasonic, Shah Alam, hari ini.

Episod lambat panas sekali lagi dipamerkan anak buah jurulatih, Gerard Casas apabila mereka ketinggalan 0-2 sebelum bangkit mencatat kemenangan dalam perlawanan sengit itu.

Prestasi cemerlang sekali lagi dilakar awang import kelahiran Brazil, Felipe de Souza yang melakukan hatrik manakala empat gol lagi disumbang Hamdin Zarif Mahmun, Sirhan Aiman Saipubahrin, Murilo Saad dan Amirul Khairuddin.

Menurut Casas, dia lega dengan kemenangan kedua Pahang Rangers selepas menewaskan Selangor FC 8-4 di gelanggang sendiri sebelum ini dan hari ini mengatasi Sabah FC 7-5. '

"Pemain beraksi dengan baik walaupun pada awal perlawanan ketinggalan 0-2, kebangkitan berjaya dilakukan dengan begitu menarik oleh barisan pemain tanpa rasa tekanan.

"Saya tidak menafikan lawan (Sabah) bukan pasukan lemah, mereka memiliki kelebihan tersendiri apabila memberi tentangan sepanjang perlawanan. Pemain mereka memiliki semangat juang yang tinggi untuk mencatat kemenangan.

"Bagaimanapun, pengalaman dan semangat juang tinggi barisan pemain Pahang Rangers berjaya menjinakkan lawan. Secara keseluruhan perlawanan begitu sengit dan mental pemain Pahang Rangers begitu kuat.

"Perlawanan agak tegang, tetapi pemain dapat memberi fokus tinggi untuk mencatat kemenangan dengan corak permainan dipamerkan begitu menarik," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 9:49 PM