GERARD Casas (kanan) pada sesi latihan menjelang pertemuan dengan Sabah FA. FOTO MOHD RAFI MAMAT
GERARD Casas (kanan) pada sesi latihan menjelang pertemuan dengan Sabah FA. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pasukan Pahang Rangers FC akan mengambil kesempatan tempoh rehat yang panjang untuk membentuk pasukan yang lebih baik bagi menghadapi Sabah FC pada perlawanan ketiga Divisyen 1 saingan Liga Futsal Perdana Kebangsaan Malaysia (MPFL) di Kompleks Sukan Negara (KSN) Panasonic, Shah Alam, Ahad ini.

Pemain skuad bimbingan jurulatih, Gerard Casas itu kini benar-benar bersedia menempuh perlawanan yang begitu penting dalam usaha memperbaiki kedudukan dalam carta liga.

Menurut Casas, pasukan Pahang Rangers memerlukan kemenangan pada perlawanan ketiga Ahad ini, untuk mengelak tercicir lebih jauh daripada pendahulu liga.

Katanya, tempoh rehat yang panjang memberi peluang kepada pemain untuk kembali turun dengan penuh bersemangat, bebas dari kecederaan dan keyakinan yang tinggi.

"Selepas melalui dua perlawanan dapat dilihat rentak serta corak permainan yang dipamerkan barisan pemain ada perubahan terutama dari segi keyakinan diri dan semangat.

"Selepas tersentak dengan keputusan seri 6-6 dengan Shah Alam City, pemain Tok Gajah segera bangkit menewaskan Selangor FC 8-4 digelanggang sendiri, Ahad ini kita berhadapan lawan yang tidak kurang hebatnya musim ini.

"Saya berharap perlawanan dengan Sabah FC berpihak pada Pahang Rangers yang perlu meraih tiga mata dalam menjamin peluang berada ditangga teratas liga tidak terus tercicir.

"Misi kita hanya satu iaitu menang, namun dalam usaha memburu kemenangan pemain tidak boleh leka dengan memandang rendah pada lawan. Sikap terlalu yakin pasti akan mengundang padah pada pasukan," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 10:16 PM