KYRGIOS tiga kali jalani pembedahan.
KYRGIOS tiga kali jalani pembedahan.
Agensi

Sydney: Nick Kyrgios memberi bayangan persaraan yang lebih jelas menerusi pendedahannya untuk 'benar-benar tidak mahu bermain lagi'.

Ia berlaku kurang seminggu selepas Kyrgios mengesahkan dia tidak akan bertanding di Terbuka Australia 2024.

Pemain berusia 28 tahun itu berkata, dia berasa sangat penat selepas menjalani tiga pembedahan sehingga tidak dapat 'berjalan tanpa rasa sakit'.

Malah, dia mengakui sudah pasti meninggalkan sukan tenis lebih awal jika tidak kerana sokongan orang tersayang, termasuk teman wanitanya, Costeen Hatzi.

Kyrgios memberitahu podcast On Purpose mengenai persaraan. "Sejujurnya, ia bergantung kepada saya dan sebenarnya saya tidak mahu bermain lagi.

"Tetapi boleh dikatakan saya terpaksa. Saya masih ada banyak untuk berikan tetapi saya penar. Saya sudah menjalani tiga pembedahan sekarang. Saya baru berumur 28 tahun dan mahu berkeluarga dan tidak mengalami kesakitan. Apabila saya bangun, saya tidak dapat berjalan tanpa rasa sakit.

"Walaupun saya sudah memenangi (Wimbledon), orang akan berkata, 'Lakukan lagi'. Itulah cabaran dalam hidup," katanya.

Kyrgios mengharungi satu tahun yang mencabar disebabkan pembedahan lutut baru-baru ini. Tambah bintang tenis Australia itu lagi, keadaannya bertambah teruk kerana dia kembali terlalu awal.

Kyrgios juga turut memberitahu perkara itu kepada peminatnya di OnlyFans. "Jelas saya mengalami tahun sangat sukar dengan kecederaan, menjalani pembedahan lutut terbabit dan kembali terlalu awal menyebabkan prestasi saya sedikit mundur.

"Jadi ini waktu yang sangat mengecewakan dan saya tidak akan dapat bertanding di Terbuka Australia 2024," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 12:13 PM