BINTANG tenis Australia, Nick Kyrgios memiliki pertalian darah dengan Malaysia apabila ibunya berasal dari negara ini. FOTO REUTERS
BINTANG tenis Australia, Nick Kyrgios memiliki pertalian darah dengan Malaysia apabila ibunya berasal dari negara ini. FOTO REUTERS
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Perlu ambil kesempatan di atas pertalian darah bintang tenis dunia, Nick Kyrgios.

Itulah pandangan bekas pemain negara, Afizal Abu Othman yang merasakan Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) harus mencari langkah terbaik bagi menaikkan semula sukan berkenaan.

Menurutnya, selepas tular mengenai Kyrgios mempunyai pertalian darah apabila ibunya rakyat Malaysia, badan induk sukan itu perlu menjalankan langkah proaktif untuk sekurang-kurangnya menjemput finalis Wimbledon itu memberikan sedikit sentuhan kepada pembangunan tenis negara.

"Saya masih ingat lima tahun lalu dia (Kyrgios) pernah datang ke Malaysia. Ketika itu Terbuka Malaysia dan dia belum terkenal.

"Dia sempat melawat Kompleks Tenis Jalan Duta walaupun kejohanan ketika itu diadakan di Bukit Jalil.

"Ketika dia datang melawat saya rasa ibunya (Norlaila) turut berada bersama dengannya. Dia sebenarnya seorang individu biasa dan peramah, berbeza ketika perwatakannya di dalam gelanggang.

"Kadang-kadang pemain tenis ini mempunyai perwatakan sama seperti John McEnroe. Masing-masing mempunyai perwatakan tersendiri," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ujar Afizal, ada yang menyangkakan Kyrgios seorang individu yang pemarah dan panas baran, namun ia hanya perwatakan di gelanggang untuk membuatkan seseorang mempunyai keyakinan ketika beraksi.

"Sebenarnya dia disukai ramai, setakat yang saya tahu perwatakan negatif itu hanyalah di dalam gelanggang dan tidak terbawa sehingga ke luar, mungkin disebabkan didikan ibunya.

"Bagi seorang pemain tenis yang layak ke final Wimbledon dan mempunyai pertalian darah Malaysia, ia memang cukup bagus buatnya serta negara kita sendiri.

"Dia seperti sudah belajar dengan pengalaman sebelum ini apabila pernah disingkirkan dari kejohanan. Dia belajar dari situ dan cuba berubah sedikit demi sedikit," katanya.

Tambah pemain tenis yang pernah beraksi di Sukan Sea era 90-an dan Piala Davis itu, walaupun Kyrgios mempunyai kerakyatan Australia, namun pertalian darah Malaysia itu harus diguna sebaik mungkin terutama aspek pembangunan tenis negara.

"Mungkin selepas ini LTAM boleh menjemputnya datang berkongsi pengalaman dan mengadakan klinik tenis untuk kanak-kanak.

"Ia akan membangkitkan semangat dan menggalakkan pemain negara mencapai cita-cita untuk bermain tenis di peringkat tertinggi. Sebab kita lihat sekarang ini sedikit merudum," katanya.

Kyrgios dilahirkan di Canberra pada 27 April 1995 dan bapanya berpindah ke Australia ketika dia masih remaja dan ibunya adalah warganegara Malaysia dikenali Norlaila yang lebih mesra dikenali sebagai Nill.

Namun ibunya itu kini tidak dapat melihatnya beraksi di pentas akhir Wimbledon kerana sedang sedang sakit.

Kyrgios mengesahkan ibunya yang berasal dari Malaysia, Norlaila akan kekal di rumah di Canberra sementara menunggu pemindahan buah pinggang.

Dia yang sudah bertahun-tahun mengikuti jadual perlawanan Kyrgios di seluruh dunia, namun kini tidak lagi boleh menonton aksi itu dan hanya mengetahui perkembangan anaknya di Internet atau menerusi panggilan telefon daripada duduk dalam keadaan berdebar.

Bercakap selepas mencatat kemenangan ke atas Cristian Garin di suku akhir, Kyrgios berkata, ia terlalu berisiko untuk Nill (Norlaila) berada di Wimbledon.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 9:00 PM