Shanghai: Juara Masters AS, Bubba Watson menjuarai acara Golf Dunia buat kali pertama menerusi aksi penuh dramatik apabila dia mencatat eagle dari dalam bunker di lubang ke-18 bagi mengheret permainan ke play-off sebelum membenam birdie dari jarak 20 kaki di lubang sama untuk menewaskan Tim Clark sekali gus memenangi Kejohanan HSBC di Shanghai, semalam.

Watson menjerit sambil mengangkat tangannya selepas berjaya mencatat eagle dari dalam bunker yang terletak kira-kira 20 ela dari green di lubang ke-18 sekali gus mengheret permainan ke play-off selepas mengumpul 11 di bawah par.

Ketika aksi play-off, dia sekali lagi cemerlang di lubang sama apabila membenam birdie dari jarak 25 kaki sekali gus mengecewakan Clark.

Mendahului pemain lain dengan 12 di bawah par ketika berbaki tiga lubang, Watson dilihat bakal kecewa apabila mencatat bogey diikuti double bogey di lubang ke-16 dan 17 sekali gus mengakibatkan catatannya merosot kepada sembilan di bawah par.

“Ketika sedang berjalan ke bunker di lubang ke-18, saya berbual dengan kedi bahawa inilah saat paling baik untuk saya mengubah segala-galanya,” kata Watson.

“Dia (kedi) membalas, ‘inilah yang membezakan pemain biasa dengan legenda’ dan saya terkejut apabila bola itu masuk. Saya tidak tahu apa yang harus dilakukan dan apa yang boleh saya buat ialah menjerit.”

Clark yang turut bermain di dalam kumpulan sama dengan Watson, mencatat birdie dari jarak enam kaki sekali gus mengumpul 11 di bawah par dan perlawanan terpaksa diheret ke play-off.

Pemain lain, Graeme McDowell, Martin Kaymer serta Hiroshi Iwata semuanya gagal mencatat birdie dan penentuan juara tertumpu kepada Watson dan Clark. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:07 AM