PEMAIN flanker Afrika Selatan, Marco van Staden (tengah) melakukan try ketika menewaskan Tonga, hari ini. FOTO AFP
PEMAIN flanker Afrika Selatan, Marco van Staden (tengah) melakukan try ketika menewaskan Tonga, hari ini. FOTO AFP
AFP

Marseille: Afrika Selatan hampir pasti ke suku akhir Piala Dunia Ragbi selepas menewaskan Tonga 49-18, hari ini, walaupun terdapat percaturan matematik tipis kemungkinan mereka gagal ke peringkat kalah mati.

Springboks melakukan tujuh try manakala Tonga dengan tiga try untuk meraih mata bonus dan meletakkan mereka di tangga teratas Kumpulan B dengan 15 mata.

Dua pasukan yang mara ke pusingan kalah mati akan ditentukan apabila pasukan nombor satu dunia, Ireland - yang menewaskan Springboks minggu lalu - menentang pasukan di tangga kelima dunia, Scotland di Paris pada Sabtu ini.

Jika Ireland menang, mereka akan muncul juara kumpulan manakala Afrika Selatan di tempat kedua.

Bagaimanapun, sekiranya Scotland menewaskan Ireland dengan jurang 21 mata atau lebih dan kedua-dua pasukan melakukan empat try untuk meraih mata bonus, ia bermakna tiga pasukan itu akan menamatkan saingan dengan 15 mata.

Jika ia berlaku, Scotland akan menduduki tangga teratas dengan perbezaan mata ke atas Ireland, yang akan menduduki tempat kedua kerana rekod satu lawan satu lebih baik berbanding Afrika Selatan.

"Kami terpaksa menunggu. Kedudukan kumpulan kami akan diputuskan pada Sabtu ini, jadi kami akan menunggu," kata jurulatih Afrika Selatan, Jacques Nienaber.

"Perkara paling penting buat kami adalah menang dan mendapat mata bonus. Kemudian cuba mendapatkan sebanyak mungkin mata untuk berada pada posisi terbaik dalam kumpulan."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 8:48 AM