Pemain Jepun meraikan kemenangan menewaskan Ireland. FOTO NSTP
Pemain Jepun meraikan kemenangan menewaskan Ireland. FOTO NSTP
AFP

RAGBI Piala Dunia meledak penuh ceria selepas Jepun menghasilkan salah satu kejutan terbesar dalam sejarah pertandingan itu di tempat sendiri apabila mengejutkan pasukan lebih menjadi pilihan, Ireland dengan keputusan 19-12, hari ini.

Skuad The Brave Blossoms beraksi cemerlang menentang Ireland yang hadir pada pertandingan itu sebagai pasukan terbaik di dunia menerima sorakan padu lebih 47,000 penyokong setia di Stadium Ecopa, Shizuoka.

Keputusan itu meletakkan saingan Pool A terbuka luas apabila Jepun mengintai aksi suku akhir sulung mereka daripada kumpulan yang turut menyenaraikan Scotland.

Pada perlawanan lebih awal, Argentina yang tewas perlawanan pembukaan kepada Perancis menewaskan pasukan Tonga yang bermain penuh semangat 28-12 yang diraih menerusi hatrik daripada hooker, Julian Montoya.

Afrika Selatan juga bangkit daripada kekalahan kepada juara bertahan, New Zealand pada perlawanan pertama, membelasah Namibia 57-3.

The Springboks melakukan sembilan try menentang lawan sebenua Afrika, perlawanan yang dianggap tidak kena apabila Namibia terpaksa beraksi dengan 14 pemain pada penghujung perlawanan selepas menerima kad kuning kedua.

Bagaimanapun, perlawanan paling dinantikan adalah pertembungan Jepun-Ireland biarpun peminat di tempat sendiri tidak meramalkan mereka akan menewaskan lawan yang cemerlang dalam saingan Enam Negara.

“Kami perlu berdepan beberapa perlawanan lagi selepas ini tetapi kami menikmati perlawanan hari ini,” kata jurulatih Jepun, Jamie Joseph.

“Kami bangga dengan pemain. Bagi kami, ia persembahan yang hebat.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 8:35 PM