DJOKOVIC menjulang trofi selepas muncul juara di Terbuka Cincinnati, Ahad lalu. FOTO AFP
DJOKOVIC menjulang trofi selepas muncul juara di Terbuka Cincinnati, Ahad lalu. FOTO AFP
AFP

Paris: Menjelang undian Terbuka Amerika Syarikat (AS), Khamis ini, Novak Djokovic semakin hampir memintas Carlos Alcaraz untuk kembali bergelar pemain nombor satu dunia selepas menewaskan 'musuh' itu di Terbuka Cincinnati.

Pada aksi pemanas badan terakhir sebelum kejohanan utama terakhir tahun ini, Ahad lalu, Djokovic membalas dendam ke atas pemain Sepanyol berusia 20 tahun itu yang memenangi pertarungan final antara mereka di Wimbledon pada 17 Julai.

Ahad lalu, Djokovic terpaksa bangkit sebelum menang 5-7, 7-6 (9/7), 7-6 (7/4) dalam pertarungan selama tiga jam dan 49 minit.

Kini pemain Serbia berusia 36 tahun itu hanya ketinggalan 20 mata di belakang Alcaraz dan akan muncul pemain nombor satu dunia jika menang perlawanan pusingan pertama di Terbuka AS.

Djokovic tidak pernah tewas di pusingan pertama kejohanan Grand Slam sejak aksi di Terbuka Australia 2006.

Pemain Denmark, Holger Rune pula menduduki ranking keempat dunia dan memintas pemain Greece, Stefanos Tsitsipas, yang jatuh tiga anak tangga.

Alexander Zverev pula naik lima anak tangga ke kedudukan ke-12 selepas mara ke separuh akhir di Cincinnati.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 8:41 AM