RUBLEV bersama  Putera Albert II dan Puteri Charlene dari Monaco.
RUBLEV bersama Putera Albert II dan Puteri Charlene dari Monaco.
AFP

Monte Carlo, Principality of Monaco: Andrey Rublev berkata, menjuarai trofi Masters 1000 pertamanya di Monte Carlo semalam seperti kisah dongeng selepas pemain Rusia itu menewaskan Holger Rune dari Denmark dengan tiga set.

Pilihan kelima itu bangkit daripada ketinggalan 1-4 di set penentuan sebelum menewaskan pilihan keenam Rune 5-7, 6-2, 7-5 dalam tempoh satu jam 34 minit di atas gelanggang tanah liat merah Court Rainier III.

Pemain berusia 25 tahun itu meraih kejayaan terbesar dalam kariernya selepas tewas final Masters di Monte Carlo dan Cincinnati, kedua-duanya pada 2021 sekali gus meningkatkan keyakinan menjelang Terbuka Perancis bulan depan.

"Perasaan hebat. Hari ini saya mengawal emosi sangat baik," kata Rublev.

"Selepas bergelut banyak kali, tewas di final, separuh akhir malah tewas lebih awal, akhirnya saya menjuarai Masters 1000.

"Memenangi perlawanan seperti ini, tewas 4-1, mata 'break' 5-1, mampu bangkit menjuarainya ia seperti kisah dongeng," kata pemain nombor enam dunia itu.

"Saya ingat final sebelum ini dan ketika tewas, saya fikir saya tiada peluang lagi dan mental saya terjejas tetapi hari ni, saya percaya dan yakin sehingga tamat perlawanan."

Rafael Nadal, pemenang 11 kali di Monte Carlo dan Carlos Alcaraz terlepas kejohanan pemanas badan menjelang Terbuka Perancis akibat kecederaan manakala pilihan utama Djokovic tersingkir di pusingan 16.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 12:12 PM