ALCARAZ melakukan servis ketika menentang Paul. FOTO AFP
ALCARAZ melakukan servis ketika menentang Paul. FOTO AFP
Reuters

Cincinnati: Pemain nombor satu dunia Carlos Alcaraz membalas dendam ke atas Tommy Paul menerusi kemenangan 7-6 (6), 6-7 (0), 6-3 di pusingan ke-16 Terbuka Western & Southern awal pagi tadi.

Pilihan utama dari Sepanyol itu menamatkan cabaran pilihan ke-14 Paul yang menewaskannya di suku akhir Toronto minggu lalu selepas perlawanan tergendala 90 minit akibat hujan.

"Perlawanan yang sangat sukar," kata Alcaraz. "Kami beraksi sengit sebelum hujan di set ketiga. Tetapi saya fikir saya beraksi dengan baik.

"Saya beritahu semua orang yang saya benar-benar mahukan kemenangan sejak tewas di Toronto. Saya datang ke Cincinnati dan saya gembira dengan prestasi saya.

"Saya fikir saya semakin baik pada setiap perlawanan dan gembira ke suku akhir di sini."

Pada suku akhir Alcaraz akan menentang pemain kelayakan dari Australia Max Purcell yang menewaskan pemain Switzerland Stan Wawrinka 6-4, 6-2.

Jika melepasi halangan Purcell, Alcaraz berdepan cabaran lebih mudah selepas pilihan ketiga dan keempat kejohanan tersingkir dalam perlawanan awal.

Pilihan ke-16 dari Jerman Alexander Zverev menewaskan pilihan ketiga dari Rusia Daniil Medvedev 6-4, 5-7, 6-4 manakala pemain Poland Hubert Hurkacz mencipta kejutan dengan menewaskan pilihan keempat dari Greece Stefanos Tsitsipas 6-3, 6-4.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 11:09 AM