AKSI  Nishikori membalas hantaran  Vinolas di  Foro Italico, Rome. FOTO  AFP
AKSI Nishikori membalas hantaran Vinolas di Foro Italico, Rome. FOTO AFP
AFP

BINTANG tenis Jepun, Kei Nishikori meraih kemenangan pertama tahun ini di Terbuka Itali awal pagi tadi dengan Grigor Dimitrov dan Marin Cilic turut mara ke pusingan kedua kejohanan tanah liat itu.

Nishikori memerlukan enam mata akhir sebelum menewaskan pemain Sepanyol, Albert Ramos-Vinolas 6-4, 7-6 (7/3) dalam masa dua jam di Foro Italico untuk kemenangan pertama sejak mara ke pusingan ketiga Terbuka AS 2019.

"Ia sudah terlalu lama sejak Terbuka AS tahun lalu,'' kata pemain berusia 30 tahun itu yang tiga kali mara ke suku akhir Grand Slam 2019 sebelum menjalani pembedahan siku.

"Saya masih tidak yakin tetapi secara perlahan saya semakin baik.''

Nishikori akan menentang juara tiga Grand Slam, Stan Wawrinka atau pemain kelayakan dari Itali, Lorenzo Musetti dalam misi meraih kembali kecergasan menjelang Terbuka Perancis bulan ini.

"Saya mahu beraksi semula di Terbuka AS dan Cincinnati tetapi saya seperti tidak bersedia untuk beraksi lima set, jadi saya memilih beraksi di Austria minggu lalu.

"Saya tak perlu terburu-buru mencapai tahap 100%. Bagi saya tahun ini perlu dihadapi satu persatu. Saya rasa saya semakin pulih, ia mengambil masa tetapi saya gembira berada di sini, Rome.

"Hari ini lebih baik berbanding aksi terakhir minggu lalu. Ia dua kali lebih baik.''

Pilihan utama, Novak Djokovic yang juga juara empat kali Rome dan juara bertahan, Rafael Nadal mendapat bye di pusingan pertama akan mula beraksi esok.

Pilihan ke-15 dari Bulgaria, Dimitrov menewaskan pemain Itali, Gianluca Mager 7-5, 6-1 manakala Cilic mengatasi pemain Kazakhstan, Alexander Bublik 6-7 (4/7), 6-2, 6-4.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 10:55 AM