MURRAY tewas 6-1, 1-6, 6-4 kepada Pouille pada aksi pembukaan di Cincinnati Masters. FOTO/AFP
MURRAY tewas 6-1, 1-6, 6-4 kepada Pouille pada aksi pembukaan di Cincinnati Masters. FOTO/AFP
AFP

CINCINNATI: Kepulangan Andy Murray ke gelanggang tenis tidak bertahan lama apabila juara Grand Slam tiga kali itu tewas 6-1, 1-6, 6-4 kepada Lucas Pouille pada aksi pembukaan di Cincinnati Masters, hari ini.

Murray yang baru kembali daripada pembedahan pinggul Januari lalu gagal menyekat kemaraan pilihan ke-16 daripada Perancis, sekali gus merencat persiapannya ke Terbuka Amerika Syarikat, bermula 27 Ogos ini. 

Kali terakhir Murray beraksi adalah 11 hari lalu pada pusingan ketiga di Washington yang memerlukannya beraksi selama tiga jam, yang berakhir pada jam 3 pagi.

Juara dua kali Wimbledon berusia 31 tahun itu berhempas pulas untuk kembali cergas di gelanggang dan tidak dapat beraksi pada suku akhir, 12 jam kemudian sebelum mengambil keputusan menarik diri.

Pouille pula tewas tiga pertemuan sebelumnya dengan Murray, kali terakhir di Dubai tahun lalu.

Murray beraksi sebagai pemain wildcard dalam acara yang dimenanginya pada 2008 dan 2011, merampas mata akhir pada permainan kedua terakhir menerusi servisnya dan sekali lagi beberapa detik kemudian apabila Pouille melakukan servis untuk mencatat kemenangan.

Namun pemain Perancis itu yang mencatat 40 kemenangan berbanding 15 dilakukan Murray, memastikan kemenangan pada percubaan ketiga.

Pilihan ke-13 dari Sepanyol Pablo Carreno Busta memulakan hari ini dengan kemenangan 6-3, 2-6, 6-3 ke atas pemain Perancis  Richard Gasquet, manakala pemain Jepun Kei Nishikori menumpaskan pemain Russia Andrey Rublev, 7-5, 6-3.

Pemain Jerman Peter Gojowczyk pula menewaskan Joao Sousa 2-6, 6-4, 7-5.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 9:30 AM