AKSI Bryan Leong hari ini. FOTO REUTERS
AKSI Bryan Leong hari ini. FOTO REUTERS
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perenang kebangsaan, Bryan Leong memperbaharui rekod kebangsaan miliknya menerusi acara 100 meter (m) kuak kupu-kupu di Kejohanan Akuatik Dunia hari ini.

Atlet berusia 20 tahun itu beraksi cemerlang dengan catatan 52.96 saat (s) dalam saringan di Fukuoka, Jepun, untuk melebur rekodnya sendiri buat kali kedua tahun ini.

Pada Mei, Bryan melakar 53.02s di Perlumbaan Antarabangsa AP London 2023 untuk mengatasi rekod lamanya 53.32s yang dicatatkan di Sukan Malaysia (Sukma) tahun lalu.

Bagaimanapun, catatan rekod baharu di Fukuoka itu gagal menempatkan beliau ke separuh akhir, hanya 16 peserta teratas daripada 74 perenang dalam saringan itu mara.

Perenang yang berpangkalan di UK itu yang menduduki tempat kedua dalam saringan 4 dengan catatan rekod baharu, hanya menduduki tempat ke-35 keseluruhan dalam saringan itu.

"Saya boleh lakukan lebih baik, masih tidak berpuas hati dengan catatan masa. Harap dapat lakukan yang lebih baik dalam Sukan Universiti Dunia, minggu depan," katanya ketika dihubungi.

Dalam acara 50m kuak kupu-kupu lelaki pada Ahad, Bryan berada di kedudukan ke-53 keseluruhan dengan 24.54s menghampiri rekod kebangsaan Daniel Bego yang berusia 14 tahun iaitu 24.38s yang dicatat pada Kejohanan Dunia 2009 di Rom, Itali.

Pada Isnin, Khiew Hoe Yean memecahkan rekod kebangsaan acara 800m gaya bebas dengan catatan 8:05.11s menempatkannya di kedudukan ke-29 keseluruhan, memadam catatan sebelumnya 8:05.38s yang direkodkan pada Disember.

Bryan dan Hoe Yean akan berlepas ke Chengdu, China esok untuk kejohanan Sukan Universiti Dunia bermula hari ini hingga 8 Ogos. Pertandingan renang dijadual berlangsung dari 1 hingga 7 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 5:32 PM