BRYAN pecahkan rekod kebangsaan miliknya dalam acara 100m kuak kupu-kupu. -FOTO Hazreen Mohamad
BRYAN pecahkan rekod kebangsaan miliknya dalam acara 100m kuak kupu-kupu. -FOTO Hazreen Mohamad
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Perenang negara Bryan Leong berjaya memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri dalam acara 100 meter kuak kupu-kupu lelaki di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha hari ini.

Bryan mencatatkan 52.78 saat (s) di pusingan awal untuk memadamkan catatan lamanya sebelum ini 52.96s yang dilakukan di Kejohanan Dunia Fukuoka tahun lalu.

Catatan masa berkenaan membolehkannya berada di kedudukan ke-21 daripada 66 perenang dalam acara itu dan hanya 16 terbaik mara ke separuh akhir.

Simon Bucher dari Austria (51.42s), Katsuhiro Matsumoto dari Jepun (51.60s) dan Nyls Korstanje dari Belanda (51.70s) melengkapkan tempat ketiga teratas.

Menurut Bryan, yang pernah mara ke separuh akhir Sukan Komanwel Birmingham 2022, mengakui berpuas hati dengan catatan masanya.

"Saya hanya cuba yang terbaik untuk mendapatkan catatan peribadi terbaik. Saya sentiasa cuba memperbaiki catatan masa saya semasa pertandingan utama," kata Bryan.

Bryan adalah perenang kedua negara yang memecahkan rekod kebangsaan di Doha.

Awal minggu ini, Khiew Hoe Yean mengatasi rekod kebangsaan miliknya sendiri dalam acara 800m gaya bebas lelaki.

Selepas ini Hoe Yean akan beraksi dalam acara 1,500m gaya bebas lelaki, manakala Phee Jinq En akan turun ke kolam renang untuk acara 50m kuak dada wanita esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 7:07 PM