PASUKAN Bardiani mengesahkan penyertaan di LTdL 2023. FOTO LTdL 2023
PASUKAN Bardiani mengesahkan penyertaan di LTdL 2023. FOTO LTdL 2023
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Green Project-Bardiani CSF-Faizane sudah tidak asing lagi dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) dan seperti biasa kehadiran mereka bukanlah sebagai watak 'penumpang' tetapi mampu memberi saingan sengit termasuk edisi 2023.

Menurut Ketua Pegawai Operasi (CEO) LTdL 2023, Emir Abdul Jalal, enam pasukan ProTeam lain yang akan bersama-sama Bardiani adalah tiga pasukan dari Sepanyol yang akan membuat kemunculan kali pertama Caja Rural-Seguros RGA, Equipo Kern Pharma dan Euskaltel-Euskadi.

"Bardiani, adalah satu daripada tujuh pasukan berstatus ProTeam yang akan beraksi pada perlumbaan edisi ke-27 ini. Mereka berada di tangga ke-23 senarai mata (setakat 11 Julai 2023), selain mendapat undangan beraksi di Giro d'Italia Mei lalu," kata Emir dalam satu kenyataan media.

Tiga lagi pasukan ProTeam yang akan beraksi di LTdL 2023 dari 23 hingga 30 September ini ialah Human Powered Health dari Amerika Syarikat, Team Corratec-Selle Italia (Itali) dan Tudor Pro Cycling Team (Switzerland).

Ujarnya, tujuh pasukan terpilih kali ini dijangka mampu memberi cabaran sengit kepada semua pasukan lain, termasuk tiga pasukan WorldTeam yang akan terpilih nanti, berdasarkan kedudukan mereka dalam senarai pungutan mata dalam senarai pasukan profesional ketika ini.

"Walaupun berstatus ProTeam, Bardiani kini menduduki tangga ke-23 dunia setakat 11 Julai lalu dengan 2292.8 mata, turut mendapat undangan wildcard beraksi dalam Giro pada tahun ini.

"Kelibat pelumba mereka sering dapat kita lihat ketika ada kelompok yang aktif membuat pemecahan dalam Giro serta terbaru kemenangan peringkat ketujuh dan jersi kuning pelumbanya dari Eritrea, Henok Mulubrhan di Tour of Qinghai Lake di China, selain Enrico Zanoncello (peringkat kelima), menceritakan kekuatan pasukan ini," katanya.

Ditubuhkan pada 1982, Bardiani tampil kali pertama pada edisi ketiga LTdL 1998 dengan nama Scrigno-Gaerne dan meledak dengan nama Ceramica Panaria-Navigare pada 2005 apabila memenangi tujuh daripada 10 peringkat – 5 menerusi Graeme Brown dan 2 dari Guilermo Bongiorno.

Begitupun, pasukan bimbingan Roberto Reverberi itu kali terakhir memenangi peringkat pada edisi 2018 menerusi Andrea Guardini.

Sementara itu, Human Powered Health juga tidak asing dalam LTdL dan pasukan berpangkalan di Minneapolis, Minesota itu pernah muncul dengan nama Kelly Benefits, United Health Care dan Rally Cycling, dan kemenangan peringkat kali terakhir mereka adalah menerusi Adam de Vos pada Peringkat 3 LTdL 2018 dan dua peringkat oleh Travis McCabe pada edisi 2017.

"Satu lagi pasukan yang berkayuh dalam Grand Tour ialah Team Corratec-Selle Italia yang bakal muncul buat kali pertama di LTdL tetapi berdasarkan perkembangan semasa, mereka juga wajar diberi perhatian terutama apabila turut menyerlah dalam Tour of Qinghai Lake dengan dua kemenangan peringkat," kata Emir.

Pasukan bimbingan Serge Parsani itu yang berada di tangga ke-39 pungutan mata (833 mata) turut mendapat undangan wildcard di Giro pada 6-28 Mei lalu dan menonjol pada peringkat ketujuh apabila pelumbanya, Karel Vacek mendapat tempat kedua, manakala Nicolas Dalla Valle menduduki tempat kelima pada peringkat kelima dan terbaru Davide Baldaccini memenangi peringkat ketiga Tour of Qinghai Lake manakala Attilio Viviani menang peringkat keenam.

Tiga pasukan dari Sepanyol yang akan tampil pertama kali juga mampu memberi saingan sengit kepada pasukan lain terutama Caja Rural dan Euskaltel yang cukup berpengalaman luas berkayuh di Eropah, selain pasukan muda Equipo Kern Pharma yang ditubuhkan pada 2020.

"Kepada peminat sukan berbasikal, nama Caja Rural dan Euskaltel pasti tidak asing kerana kedua-dua pasukan ini adalah antara pasukan yang berpengalaman luas dalam jelajah di Eropah dan sering melahirkan pelumba muda yang akhirnya dilamar pasukan handalan dunia," kata Emir.

Sementara itu, Tudor Pro Cycling Team yang kini berada di tangga ke-25 ranking dunia (1,896 mata) adalah pasukan berasaskan pelumba akademi Switzerland dan menguasai kejohanan kebangsaannya dalam kategori elit dan Bawah-23 pada tahun lalu, menerusi Robin Froindevaux (elit), Fabien Weiss (ujian masa individu B-23) dan Nils Brun (lebuhraya B-23).

Sejak mendapat sentuhan bekas jaguh dunia, Fabian Cancellara pada 2022, pasukan itu turut mendapat perhatian dan diundang berlumba dalam siri Jelajah UCI Eropah seperti Tirreno-Adriatico dan Tour de Romandie.

Pada edisi 2022 lalu, pasukan berstatus ProTeam ketika itu seperti Alpecin-Deceuninck, Uno-X dan Burgos-BH memenangi lima daripada lapan peringkat yang dipertandingkan, dan tidak mustahil satu daripada tujuh pasukan ProTeam kali ini mampu bersinar.

"Saya yakin, tujuh pasukan ProTeam yang dijemput kali ini termasuk lima pasukan muka baru dalam LTdL mampu mempamerkan kualiti kayuhan yang tinggi dan memberi saingan kepada pasukan-pasukan lain," kata Emir.

LTdL 2023 akan melalui 11 daripada 12 negeri di semenanjung dengan jarak keseluruhan 1,280.3km dan berakhir pada 30 September di Kuala Lumpur.

Dengan tema 'Beat The Heat', edisi kali ini dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 5:19 PM