ASTANA antara muka tetap dalam saingan LTdL.
ASTANA antara muka tetap dalam saingan LTdL.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Astana Qazaqstan Team muncul pasukan terawal berstatus WorldTeam mengesahkan kemunculannya bagi edisi ke-27 Le Tour de Langkawi 2023 (LTdL), 23 hingga 30 September depan.

Walaupun kurang menyerlah dalam perlumbaan besar antarabangsa sepanjang musim ini, pasukan yang disifatkan antara muka tetap dalam LTdL sejak kemunculan kali pertama pada 2012 itu, masih dianggap antara pencabar hebat pada saingan lapan peringkat ini.

Menurut Ketua Pegawai Operasi LTdL 2023, Emir Abdul Jalal berkata, Astana sentiasa ingin menepati reputasinya sebagai pasukan berstatus WorldTeam dalam mana-mana perlumbaan, tidak terkecuali LTdL.

"Kesempatan menambah mata ranking dalam LTdL ini pasti tidak mahu dilepaskan oleh Astana terutama menjelang penghujung musim perlumbaan.

"Walaupun mereka mungkin tidak menghantar nama seperti Mark Cavendish, Simone Velasco atau juara kebangsaan Kazakhstan Alexey Lutsenko, saya pasti akan ada nama-nama berpengalaman daripada senarai 30 pelumba pasukan itu yang akan turut serta," kata Emir dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ujar Emir, Astana kini dalam keadaan terdesak untuk mengukuhkan pungutan mata dalam senarai ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi mengelakkan pasukan yang mempunyai reputasi besar itu terhumban ke kelompok bawahan.

Velasco memenangi peringkat ketiga perlumbaan Vuelta a la Communitat Valenciana tahun ini manakala Cavendish yang diharap menambah koleksi kemenangan Grand Tour tetapi mengalami kemalangan yang menyebabkan patah tulang selangka di Tour de France, hanya mencatat kemenangan pada Peringkat 21 Giro d'Italia.

Paling menyinar Lutsenko yang memenangi jersi kuning Giro di Sicilia serta dua peringkat di Circuito de Getxo-Memorial Hermanos Otxoa, selain menjuarai acara lebuh raya dan ujian masa individu kebangsaan Kazakhstan tahun ini.

Walaupun belum menghantar senarai nama enam pelumbanya, penganjur LTdL 2023 yakin pasukan yang diuruskan legenda dunia, Alexander Vinokourov itu akan tetap menurunkan barisan terbaik bagi menangani cabaran perlumbaan berstatus 2 ProSeries itu.

Edisi ke-27 LTdL 2023 sejauh 1,280.3km yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan membuka tirai saingan di Kerteh, Terengganu pada 23 September depan, melalui 11 daripada 12 negeri di Semenanjung dan berakhir di Kuala Lumpur City Center (KLCC) pada 30 September.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 3:49 PM