ANAS memenangi pingat emas dalam acara akhir 100 meter gaya bebas lelaki S14 di Kompleks Renang Bukit Jalil, hari ini. - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
ANAS memenangi pingat emas dalam acara akhir 100 meter gaya bebas lelaki S14 di Kompleks Renang Bukit Jalil, hari ini. - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
BERNAMA

SKUAD renang para negara akhirnya memecah kebuntuan pingat emas Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 apabila berjaya menuai tiga pingat emas pada hari kedua, di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Pungutan pingat emas negara bermula dengan kuakan emas Anas Zul Amirul Sidi yang berjaya menghasilkan emas bagi kategori 100 meter gaya bebas lelaki S14.

Lebih manis kejayaan Anas itu disulami dengan catatan rekod baru temasya iaitu 59.79s mengatasi rekod sebelum ini 1 minit 02.88 saat yang dilakukan atlet Singapura, Benson Tan di Myanmar pada 2014.

Pingat perak diraih Benson yang ketinggalan 1.59s manakala seorang lagi perenang negara, Zadrian Chan mengutip pingat gangsa dengan catatan 1:01.70s.

Emas kedua negara hadir menerusi Yoong Chung Wei yang beraksi dalam kategori 50m kuak kupu-kupu lelaki S14 apabila berjaya memintas Daniel Nugroho dari Indonesia yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak manakala gangsa diraih atlet Thailand, Mongkolchaichanwi.

Tidak kurang hebatnya, Jamery Siga membuktikan kehadirannya bukan sekadar pelengkap acara apabila turut menyumbang emas sekali gus mengungguli kategori 50m kuak kupu-kupu S5.

Pingat perak diraih atlet dari Myanmar, Maung Maung Soe manakala seorang lagi wakil negara, Muhammad Nur Syaiful yang beraksi dalam kategori itu hanya berpuas hati dengan gangsa.

Sementara itu, kontinjen negara turut menerima dua lagi koleksi pingat perak menerusi Jamery dalam kategori 200m gaya bebas lelaki S5 dan Julius Jaranding kategori 100m gaya bebas lelaki S12.

Jamery terpaksa tunduk dengan kehebatan Vo Thanh Tung dari Vietnam yang melakukan catatan masa 2:59.17s untuk pingat emas manakala pingat gangsa juga dimenangi atlet dari Vietnam, Danh Hoa.

Julius yang suatu ketika hampir melakukan kejutan, terpaksa akur di tempat kedua, ketinggalan 1.70s di belakang atlet Indonesia, Menaser Meriba yang merangkul emas dan gangsa menjadi milik perenang Vietnam, Bui Van Tinh.

Dua lagi perenang negara James Wong dan Jaison Pengiran sekadar menghadirkan pingat gangsa masing-masing dalam kategori 100m kuak dada lelaki SB8 dan SB9.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 5:55 PM