AZEEM catat masa terpantas tahun ini dengan catatan 10.31s. -FOTO Instagram
AZEEM catat masa terpantas tahun ini dengan catatan 10.31s. -FOTO Instagram
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi terus mempamerkan larian konsisten apabila kali ini dia berjaya mencatat masa terpantas untuk tahun ini dengan catatan 10.31 saat (s) dalam acara 100 meter (m) di Kejohanan Olahraga Tiger Klasik di Alabama Amerika Syarikat (AS) pada awal pagi tadi.

Dengan catatan itu, membolehkan Azeem berada dalam kelompok tiga terbaik ketika saringan satu diadakan itu sekali gus meletakkan nama dia berada di ranking ke-48 secara keseluruhan dalam Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) bagi acara 100m.

Dalam saringan itu juga, rakan seuniversiti Azeem, Favour Ashe berjaya melakukan catatan masa bawah 10s iaitu 9.96s sekali gus memperbaharui masa terbaik dia musim ini.

Untuk makluman, kedudukan ranking berkenaan amat penting kerana ia akan menentukan sama ada atlet kelahiran Perak itu akan terpilih atau sebaliknya ke Kejohanan Trek dan Padang NCAA yang akan berlangsung di Padang Hayward, Eugene, Oregon, pada Mei ini.

Sebagai rekod, catatan peribadi terbaik yang dirakam oleh Azeem ialah 10.09s yang dicatatkan ketika di Kejohanan Olahraga Dunia bawah 20 tahun di Cali, Colombia pada tahun 2022.

Pelari berusia 20 itu dalam landasan memburu mata untuk layak ke Olimpik Paris 2024 secara merit dan akan menyertai beberapa kejohanan akan datang termasuklah Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia pada Jun ini.

Azeem memulakan kempen pemburuan tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 dengan meraih satu emas dan satu gangsa dalam acara di Kejohanan Olahraga Yellow Jacket Invite di Georgia Tech, Atlanta, AS.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 2:13 PM