AKSI Sharul Aimy di Stadium Nasional Olimpik, Phnom Penh. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
AKSI Sharul Aimy di Stadium Nasional Olimpik, Phnom Penh. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
BERNAMA

Phnom Penh: Skuad gimnastik artistik kebangsaan menutup saingan di Sukan Sea 2023 dengan penambahan empat pingat gangsa pada hari terakhir saingan di Stadium Nasional Olimpik, di sini hari ini.

Empat gangsa itu masing-masing disumbangkan Muhammad Sharul Aimy dalam acara kekuda berpelana, Ally Hamuda Abdullah (gelang roman), Ng Chun Chen (palang sejajar) dan Luqman Al Hafiz Zulfa menerusi acara palang tunggal.

Hasrat kem negara untuk mencipta kejutan meraih emas tidak kesampaian apabila Muhammad Sharul menamatkan acara melombol di kedudukan keempat selepas mendakwa fokusnya terjejas akibat 'gangguan' daripada pegawai doping di venue pertandingan.

Namun, jurulatih kebangsaan Ng Shu Liang berkata pencapaian hari ini tetap boleh dibanggakan dan memberi petanda positif selepas pelbagai cabaran dihadapi menjelang temasya dwitahunan itu antaranya kehilangan atlet Teoh Chun Feng yang terpaksa disisihkan kerana kecederaan.

"Saya sangat gembira terhadap mereka, empat orang masuk final semua dapat bawa balik pingat ke Malaysia, kita memang tidak sangka akan dapat pingat dalam acara individu kerana ada pencabar hebat Carlos Yulo dari Filipina dan gimnas berpengalaman dari Vietnam.

"Jadi saya rasa pada edisi Sukan Sea akan datang sepatutnya menjadi momen atlet kita," katanya ketika ditemui selepas saingan final di sini hari ini.

Menurut Shu Liang, jurang antara atlet negara dan gimnas dari Vietnam serta Filipina tidak begitu besar, malah tidak menolak kemungkinan dengan pendedahan di kejohanan antarabangsa yang lebih banyak, tidak mustahil Malaysia mampu menguasai sukan itu di rantau ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 9:30 PM