CHUN Chen alami kecederaan jari. FOTO Chun Chen Ng
CHUN Chen alami kecederaan jari. FOTO Chun Chen Ng
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun bergelut dengan kecederaan jari retak, gimnas negara, Ng Chun Chen bersedia menggalas tanggungjawab besar sekurang-kurangnya membantu pasukan lelaki meraih pingat di Sukan Sea Kemboja bulan depan.

Menurut Chun Chen, itu azamnya bagi penampilan kali kedua di temasya dwi tahunan berkenaan dan pada masa sama cuba untuk melupakan kecederaan dialami Februari lalu.

"Memang saya ada sasaran tersendiri, iaitu ingin menampilkan persembahan lebih baik berbanding tahun lalu. Bagaimanapun, semangat saya itu sedikit terganggu dengan kecederaan jari dialami Februari lalu sehingga menghalang saya beraksi di Piala Dunia ketika itu," kata Chun Chen kepada Arena Metro.

Menurut atlet kelahiran Pulau Pinang itu, fokusnya hanya tertumpu kepada Sukan Sea, dengan harapan dapat membantu pasukan meraih pingat.

"Untuk diri sendiri memang saya kecewa sedikit apabila mengalami kecederaan jari, tapi saya bertekad terus berusaha lagi demi kejayaan individu dan berpasukan.

"Walaupun menyertai keenam-enam acara, tumpuan saya terarah kepada palang sejajar tapi bila kecederaan ini membuatkan saya sedikit kecewa. Sekarang saya harus berjuang habis-habisan untuk meraih apa saya hajati," kata atlet berusia 21 tahun itu.

Ditanya mengenai saingan untuk acara berkenaan, Chun Chen mengakui atlet Filipina yang juga juara dunia, Carlos Yulo bersama Olimpian Vietnam, Le Thanh Tung sudah pasti menjadi pencabar paling sukar.

"Memang boleh beri saingan dengan mereka, cuma apabila turun gelanggang siapa yang mempamerkan aksi terbaik ada peluang untuk menyerlah.

"Tahun lalu ia agak malang buat saya di Hanoi apabila terjatuh sedangkan ketika itu saya mampu berada dalam kedudukan empat terbaik. Sekarang tumpuan saya kepada berpasukan sahaja, betul-betul harus mendapatkan pingat untuk menyelamatkan semua. Biar kekal di podium, jika ada rezeki saya di palang sejajar atau acara lain, saya akan cuba meraih pingat individu," kata pelajar Universiti Asia Pasifik itu.

Selain Chun Chen, lima lagi gimnas lelaki negara yang bakal beraksi di Kemboja ialah Sharul Aimy Mohd Kamaru Hisam, Luqman Al-Hafiz Zulfa, Teoh Chuen Feng, Ally Hamuda Abdullah dan Syakir Aiman Subri.

Tahun lalu di Hanoi skuad gimnastik lelaki negara membawa pulang satu perak dan satu gangsa dalam acara kuda berpelana melalui Tan Fu Jie dan Sharul Aimy.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2023 @ 6:58 PM