SHARIFAH Afiqah akan beraksi kali kedua di Sukan Sea. FOTO Bernama
SHARIFAH Afiqah akan beraksi kali kedua di Sukan Sea. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Semangat atlet petanque kebangsaan, Sharifah Afiqah Farzana Syed Ali tetap utuh dalam memburu pingat emas sulung pada Sukan Sea Kemboja 2023 bulan depan walaupun merasai impak ketiadaan abangnya dalam kem negara kali ini.

Hasrat untuk berjuang bersama-sama dalam menghadiahkan emas kepada negara di Kemboja tidak kesampaian selepas abangnya Syed Afiq Fakhri gagal melepasi proses pemilihan ketat Persekutuan Sukan Boules Malaysia.

Atlet berusia 19 tahun yang akan menggalas cabaran negara dalam acara 'mixed triples' itu mengakui terdapat perbezaan apabila Syed Afiq tiada disisinya, namun tidak sesekali tunduk dengan emosi negatif, malah menjadikan pesanan abangnya sebagai azimat bagi mencipta kejayaan.

"Sudah tentu sangat ada (perbezaan) sebab kalau dengan abang keserasian sudah ada, dengan rakan sepasukan baharu ia (keserasian) baru nak dipupuk, rasa lain sedikit. Tetapi saya sudah bersedia.

"Abang bagi tahu, walaupun tidak berada dalam pasukan, dia selalu doakan kejayaan kami meraih emas. Dia minta saya berjuang demi negara, keluarga dan diri sendiri supaya dapat banggakan keluarga dan Malaysia," katanya kepada Bernama di sini.

Keserasian Sharifah Afiqah dan Syed Afiq jelas terbukti dengan kejayaan meraih gangsa 'mixed doubles' pada penampilan sulung di Sukan Sea di Hanoi, Vietnam tahun lalu yang menyaksikan mereka turut mencipta kejutan menewaskan pasangan Vietnam dan Thailand pada saingan pusingan awal.

Kasih sayang antara adik-beradik itu juga jelas terpancar apabila kedua-duanya berpelukan sambil menangis menahan kesedihan di gelanggang selepas tuah tidak memihak mereka apabila terkandas di peringkat separuh akhir sekali gus terpaksa berpuas hati membawa pulang gangsa.

Sharifah Afiqah berkata insiden itu masih segar dalam ingatannya.

Sementara itu, pelajar jurusan Diploma Pengajian Sukan dan Rekreasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu berkata pengalaman lepas mendidiknya menjadi seorang atlet yang lebih berkeyakinan dan matang untuk berdepan apa jua cabaran yang menanti.

"Ini Sukan Sea kedua saya, jadi apa yang berlaku sebelum ini saya jadikan pengajaran, saya sudah boleh menyesuaikan diri dengan keadaan gugup dan gementar, saya lebih fokus. Sasaran peribadi saya mahu perbaiki pencapaian gangsa dan mendapatkan emas," kata atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu.

Beliau berkata pasukan tuan rumah adalah pencabar utama dalam misinya memburu emas.

Sukan Sea Kemboja 2023 dijadual berlangsung dari 5 sehingga 17 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2023 @ 5:59 PM