PANDELELA dakwa laporan  ditulis tidak mengikut apa  dimaksudkan.
PANDELELA dakwa laporan ditulis tidak mengikut apa dimaksudkan.
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) menolak dakwaan sebuah akhbar tempatan yang melaporkan penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong mengeluarkan kenyataan tiada seorang pegawai Institut Sukan Negara (ISN) ketika atlet itu bertanding di Sukan Olimpik Tokyo.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, MSN memberitahu seramai empat pegawai ISN yang berdaftar ditugaskan untuk memberikan perkhidmatan kepada kontinjen Malaysia di perkampungan Sukan Olimpik.

Jelasnya, kesemua mereka itu dibantu sembilan lagi pegawai ISN yang ditempatkan di sekretariat luar kerana kekangan jumlah kad akreditasi seperti ditetapkan penganjur manakala pegawai MSN yang berdaftar bersama kontinjen Malaysia untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020 pula hanyalah seorang.

"Perlu dijelaskan MSN sebagai pengendali Program Podium yang menaungi atlet elit seperti Datuk Pandelela Rinong, bertanggungjawab terhadap semua aspek persiapan atlet, termasuk penyertaan ke kejohanan antarabangsa selain menyediakan keperluan penting seperti penginapan, elaun latihan, jurulatih dan khidmat sokongan yang bersesuaian untuk atlet-atlet.

"Khidmat perubatan dan sains sukan pula menjadi tanggungjawab Institut Sukan Malaysia (ISN) yang menerima peruntukan RM10 juta setahun daripada Bajet Program Podium untuk tujuan berkenaan.

"Khidmat ini termasuklah menyediakan pakar dan petugas untuk membantu atlet-atlet elit negara, baik ketika menjalani latihan dan persiapan mahupun setiap kali mereka menyertai pelbagai kejohanan di peringkat antarabangsa," katanya.

Dalam hantaran sama, MSN berkata pihaknya mengambil maklum penjelasan Pandelela bahawa laporan itu ditulis tidak mengikut apa dimaksudkan ketika ditemubual wartawan akhbar berkenaan.

"Pihak Majlis ingin menjelaskan wartawan akhbar berkenaan juga tidak menghubungi mana-mana pegawai MSN untuk mendapatkan penjelasan sebenar berhubung kandungan berita yang disiarkan pada hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 6:23 PM