KUARTET 4x100 lelaki negara menewaskan Singapura di tempat kedua dan pasukan Victoria, Australia di Terbuka Australia. FOTO Ihsan Kesatuan Olahraga Malaysia
KUARTET 4x100 lelaki negara menewaskan Singapura di tempat kedua dan pasukan Victoria, Australia di Terbuka Australia. FOTO Ihsan Kesatuan Olahraga Malaysia
Syazwan Msarmohd


Kuala Lumpur: Kuartet 4x100 meter (m) negara melaungkan amaran awal bahawa mereka akan rampas takhta acara itu di temasya Sukan Sea Kemboja apabila berjaya memenangi pingat emas Terbuka Australia di Queensland Sport & Athletics Centre (QSAC), Brisbane, Australia, semalam.

Gandingan mantap yang diketuai Muhammad Zulfiqar Ismail sebagai pelari pertama diikuti Jonathan Nyepa, Muhammad Haiqal Hanafi dan Khairul Hafiz Jantan berjaya mencetak masa 39.96 saat (s).

Kejayaan itu sekali gus membolehkan mereka meraih pingat emas, menewaskan Singapura di tempat kedua (40.28s) dan kuartet dari Victoria, Australia di tempat ketiga dengan masa 41.66s.

Ketua jurulatih pecut negara Mohd Poad Kassim berpuas hati dengan prestasi ditampilkan anak buahnya sekali gus optimis mereka mampu meraih keputusan positif di Sukan Sea Kemboja.

"Alhamdulillah, barisan jurulatih gembira dengan kejayaan itu namun ada lagi yang perlu diperbaiki kerana catatan masa yang dicipta itu kurang memuaskan.

"Saya berharap dengan kejayaan ini mampu meniup semangat mereka untuk mencipta kejayaan membawa pulang emas buat negara di Sukan Sea di Phnom Penh, Kemboja dari 5 hingga 17 Mei depan.

"Catatan masa mereka boleh diperbaiki lagi dan jika perkara itu dapat dilakukan tidak mustahil akan naik podium kelak,"katanya.

Ketua jurulatih pecut negara, Mohd. Poad Kassim bersyukur dengan kejayaan anak-anak buahnya memandangkan ia adalah perlumbaan pertama kuartet 4x100m negara untuk tahun ini.

Mengikut rekod, di Sukan SEA Hanoi tahun lalu, kuartet 4x100m diwakili Haiqal, Khairul, Muhammad Arsyad Md Saad dan Muhammad Azeem Mohd Fahmi mencipta rekod kebangsaan dengan masa 39.09s untuk meraih pingat perak.

Sementara itu, jaguh lompat kijang Asia Tenggara, Andre Anura Anuar berjaya mengesahkan slot ke final pada Sabtu ini selepas melakukan catatan ketiga terbaik di peringkat kelayakan sebentar tadi.

Andre berjaya melepasi had kelayakan iaitu 15.50m dengan catatan 15.63m, ketiga terbaik di belakang atlet Victoria, Aiden Hinson yang melakukan 16.31m dan Connor Murphy (New South Wales) 16.05m.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 6:49 PM